Proton telah melancarkan pakej perkhidmatan prabayar baru yang boleh dibeli oleh pelanggan bagi kereta Proton baru dan sedia ada mereka. Pelan ProCare Smart (PSP) telah dilancarkan untuk Proton Saga, Proton X90, dan Proton X70 2025, memberikan penjimatan sehingga RM670 (tertakluk pada model).
Pembeli kereta baru boleh memilih pakej tiga atau lima tahun untuk membantu mengehadkan kos penyelenggaraan pemilikan kenderaan. Mereka juga diberi jaminan tambahan bahawa kenderaan mereka akan diselenggara di rangkaian pengedar 3S/4S Proton yang terkemuka dalam industri oleh juruteknik terlatih menggunakan hanya alat ganti Proton yang tulen.
Sebagai manfaat tambahan, para pembeli boleh mengurangkan kos penyelenggaraan kerana mereka akan menikmati penjimatan sehingga 15% berbanding pakej perkhidmatan biasa. Sekiranya kenderaan dijual dengan baki PSP yang masih belum tamat, pemilik baru akan menikmati manfaat tersebut selagi ia masih dalam tempoh sah.









