Toyota Gazoo Racing (TGR) mengumumkan bahawa GR Yaris bakal ditawarkan dengan pakej baharu yang dinamakan “Aero Performance Package”, yang akan mula berada di pusat jualan Toyota di Jepun bermula 1 Oktober 2025.
Pakej ini dibangunkan dengan input terus daripada dunia perlumbaan, membawa rangkaian penambahbaikan aerodinamik yang direka khas untuk meningkatkan penyejukan, kestabilan dan keseimbangan pada kelajuan tinggi.
GR Yaris sememangnya lahir daripada DNA rali, dan pakej ini membawa kaitan itu ke tahap seterusnya. Jurutera Toyota telah menguji komponen baharu ini secara intensif dalam perlumbaan Super Taikyu Series dan Kejohanan Rali Jepun, dengan pelumba profesional turut memberi maklum balas untuk membentuk tetapan akhir.
Pakej ini hanya ditawarkan pada varian RZ “High Performance” dan RC, menggabungkan enam komponen khusus yang direka untuk menolak prestasi aerodinamik serta pengendalian ke tahap lebih ekstrem.
Antara sorotan utama ialah bonet aluminium berliang yang diinspirasikan daripada versi gentian karbon pada GRMN Yaris. Diuji dalam perlumbaan rali, bonet ini meningkatkan penyejukan dengan mengeluarkan haba dari ruang enjin.
Untuk memastikan kereta kekal stabil pada kelajuan tinggi, lip spoiler hadapan baharu dipasang bagi mengurangkan angkatan udara di bahagian depan, sekali gus menajamkan imbangan keseluruhan – idea yang lahir daripada maklum balas pelumba yang mahukan kestabilan tambahan.





