iCAUR Malaysia hari ini buat julung kalinya memperkenalkan iCAUR V23, SUV pacuan elektrik sepenuhnya yang terbaharu, sekali gus memperkukuh kedudukan iCAUR dalam landskap automotif Malaysia.
Meneruskan kejayaan pelancaraan model iCAUR 03, SUV C-Segment terbaharu iCAUR V23 menampilkan gabungan prestasi moden, ciri keselamatan menyeluruh serta kepelbagaian fungsi, dengan rekaan unik yang memberi penghormatan kepada SUV off-road ikonik era terdahulu.
Pertama kali diperkenalkan kepada rakyat Malaysia di Malaysia Autoshow 2025, iCAUR V23 kini tampil secara rasmi dalam konfigurasi “Right-Hand Drive” di Starhill, Kuala Lumpur, menjelang pelancaran jualan rasminya.
Kompak namun berkuasa, V23 hadir dengan dimensi 4,220 mm panjang, 1,915 mm lebar dan 1,845 mm tinggi, serta jarak roda sepanjang 2,735 mm. Dimensi ini memberikan profil yang kukuh dan seimbang sesuai untuk pemanduan di bandar mahupun luar jalan raya sambil mengekalkan kestabilan dan keyakinan di pelbagai jenis permukaan.




