Volkswagen mengumumkan bahawa syarikat itu akan menggunakan sistem pemanduan-sendiri canggih milik Xpeng, dikenali sebagai XNGP, dalam barisan kenderaan elektrik (EV) generasi baharunya di China mulai tahun 2026. Model pertama yang bakal dilengkapi teknologi ini ialah sebuah SUV elektrik bersaiz sederhana yang sedang dibangunkan bersama Xpeng.
Kerjasama antara Volkswagen dan Xpeng bermula pada tahun 2023, apabila Volkswagen melabur sebanyak €700 juta dan memperoleh 4.99% saham dalam Xpeng. Kedua-dua syarikat kini sedang membangunkan dua model SUV elektrik baharu, yang dijangka dilancarkan pada tahun yang sama.
Namun, kerjasama ini bukan sekadar menghasilkan model baharu. Volkswagen dan Xpeng juga sedang membangunkan platform kenderaan baharu yang dikenali sebagai China Electronic Architecture (CEA). Platform ini akan menjadi asas utama bagi semua model EV Volkswagen di China pada masa hadapan. Ia akan membantu mengurangkan kos pengeluaran, mempercepatkan tempoh pembangunan, serta meningkatkan keupayaan pintar kenderaan.






