Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat Proton, hari ini melancarkan Hab Pengecasan DC pertamanya di Proton Tanjung Malim. Terletak di bangunan pentadbiran, hab ini dilengkapi dengan dua pengecas DC dan empat petak pengecasan, dengan jumlah kuasa output stesen sebanyak 120kW yang membolehkan empat EV dicas sekaligus.
Berbeza dengan kemudahan terdahulu yang dikendalikan penyedia pihak ketiga, ini merupakan infrastruktur pengecasan pertama Proton yang diuruskan sepenuhnya oleh PRO-NET. Langkah ini membuktikan keupayaan Proton untuk mengendalikan rangkaian pengecasannya sendiri, tanpa bergantung kepada pengendali titik pengecasan (CPO) sedia ada, sekali gus memastikan kawalan lebih baik terhadap aspek kemampuan, kebolehcapaian dan pengalaman pengguna.
Hab pengecasan ini dibuka kepada semua pemilik EV tanpa mengira jenama, selepas mendapat kelulusan Lesen ST EVCS. Dengan langkah inklusif ini, PRO-NET menggalakkan lebih ramai rakyat beralih kepada kenderaan elektrik sambil memperkukuh pembangunan rangkaian pengecasan di seluruh Malaysia.


