Perbincangan penggabungan antara Honda Motor Co. dan Nissan Motor Co. telah gagal secara rasmi, dengan ketegangan memuncak akibat tuntutan yang dianggap tidak boleh diterima oleh Nissan. Seorang pegawai kanan Nissan menyifatkan syarat yang dicadangkan oleh Honda sebagai “tidak sopan,” menyebabkan perundingan terhenti.
Punca utama kegagalan perbincangan ialah desakan Honda supaya Nissan menjadi anak syarikatnya, satu syarat yang ditolak mentah-mentah oleh Nissan. Honda juga mencadangkan agar Nissan menghapuskan sistem kenderaan hibrid proprietarinya, e-Power, dan menggantikannya dengan teknologi HV Honda.
Cadangan ini dianggap sebagai penghinaan terhadap warisan teknologi Nissan, yang selama ini dikenali dengan inovasi sendiri. Nissan enggan mengorbankan identiti dan kebebasannya, terutamanya dalam pembangunan teknologi kenderaan elektrik (EV) dan hibrid.

