OMODA | JAECOO Malaysia telah memperkenalkan model terbaharu mereka, Jaecoo J5, buat pertama kalinya di Karnival Desa ParkCity, Kuala Lumpur. Crossover segmen-B ini digelar sebagai “Everyday Superstar”, direka khas untuk keluarga muda dan pemandu bandar yang mahukan kenderaan praktikal tanpa mengorbankan gaya serta teknologi moden.
Dari segi dimensi, Jaecoo J5 berukuran 4,380mm panjang, 1,860mm lebar dan 1,650mm tinggi, dengan jarak roda 2,620mm – sedikit lebih panjang berbanding Proton X50. Ia dilengkapi rim aloi aluminium bersaiz 18 inci bersama tayar 235/55 R18, menawarkan kestabilan pemanduan dengan sentuhan sporty.
Bahagian enjinnya menempatkan unit 1.5 liter pengecas turbo empat silinder yang menghasilkan 147PS dan 210Nm tork, dipadankan bersama transmisi CVT. Penggunaan bahan api dicatatkan sekitar 7.5L/100km (WLTC), menjadikan ia sesuai sebagai kenderaan harian yang menjimatkan tetapi tetap bertenaga untuk pemanduan di lebuh raya.



