iCAUR Malaysia secara rasmi membuka pusat jualan pertamanya, iCAUR Glenmarie, di Shah Alam, sekali gus mencatat detik penting bagi jenama kenderaan elektrik (EV) muda ini. Lebih istimewa, pusat ini bukan sahaja yang pertama di Malaysia, tetapi juga merupakan pengedar rasmi pertama iCAUR di dunia, menjadikan Malaysia sebagai lokasi pelancaran global yang strategik.
Pusat ini dikendalikan oleh Absolute Motor Sdn Bhd, yang menjadi rakan kerjasama terawal iCAUR sejak penubuhannya. Pembukaan ini juga menandakan langkah penting menjelang pelancaran model pertama jenama tersebut, iCAUR 03, yang dijadualkan diperkenalkan secara rasmi pada 9 September 2025.
Hanya dalam tempoh empat bulan selepas penampilan sulungnya di Malaysia Autoshow 2025, iCAUR telah menampilkan identiti sebagai jenama yang menekankan keunikan, keseronokan serta mobiliti moden. Konsep ini diterjemahkan di cawangan Glenmarie, yang direka sebagai pusat gaya hidup berbanding sekadar sebuah bilik pameran biasa.




