Volkswagen meraikan pencapaian penting dalam perjalanan elektrifikasinya dengan menyerahkan kenderaan elektrik (EV) ke-1.5 juta daripada siri ID. kepada pelanggan. Kereta bertuah itu ialah sebuah Volkswagen ID.7 Tourer Pro berwarna hitam, yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 606km bagi sekali cas. Majlis penyerahan berlangsung di kilang Emden, Lower Saxony, Jerman.
Upacara itu turut dihadiri oleh Menteri Ekonomi Lower Saxony, Olaf Lies, bersama eksekutif kanan Volkswagen, Martin Sander dan Kai Grünitz. Pelanggan yang berasal dari Vechta menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan Volkswagen dalam pasaran EV yang semakin kukuh, khususnya di Eropah.
Sejak pelancaran ID.3 pada 2020, Volkswagen telah muncul sebagai peneraju pasaran EV Eropah, sering mendominasi carta pendaftaran di Jerman dan negara sekitarnya. Syarikat itu menegaskan bahawa siri ID. adalah tunjang utama transformasi elektrifikasinya, dibangunkan untuk memenuhi keperluan praktikal pengguna moden.



