PHS Automotive Malaysia (PHSAM), pengedar rasmi kenderaan Audi di Malaysia mengukuhkan keberadaannya dalam segmen premium mewah pada tahun 2025 menerusi pengenalan Audi Q7 flagship pemasangan tempatan. Q7 baharu dijangka berada di pasaran pada bulan Mei dan bakal ditawarkan pada harga RM469,000 dan RM489,000.
SUV flagship ini tampil atletik menerusi garis badan yang berani dan kemasan S line yang meningkatkan lagi gayaan luaran serta dalamannya. Hadir sebagai ciri standard, Black Styling Package Plus pasti akan menyerlahkan lagi penampilan luaran Q7.
Penampilan luaran Q7 didefinisikan oleh gayaan S line yang merangkumi rekaan bampar hadapan dan belakang tersendiri, serta skirting sisi yang menyerlahkan lagi karakternya yang sporty. Dengan Black Styling Package Plus, penampilan Q7 yang atletik ditingkatkan melalui penggunaan Audi Singleframe dan lencana Q7. Logo Audi di hadapan dan belakang pula hadir dalam warna kelabu (anthracite grey). Spoiler belakang dan rim Audi Sports 5-V-spoke bersaiz 22 inci itu menyerlahkan gaya yang begitu agresif.
Sebagai sebuah jentera yang canggih, Q7 dilengkapi lampu utama HD Matrix LED baharu yang terdiri daripada Audi Laser Light dan Digital OLED pada lampu belakang untuk meningkatkan gaya dan keberadaannya.
Q7 menggunakan enjin petrol TFSI V6 bersesaran 3.0 liter yang mampu menjana kuasa sehingga 340PS dan 500Nm tork. Sistem MHEV (Mild Hybrid Electric Vehicle) menggunakan teknologi 48V untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan emisi.





