Dua jenama kenderaan elektrik terkenal dari China, Neta dan Zeekr, kini berdepan dakwaan memalsukan angka jualan mereka dalam usaha untuk menampilkan prestasi perniagaan yang lebih menguntungkan daripada keadaan sebenar. Menurut laporan Free Malaysia Today (FMT), kedua-dua syarikat itu dikatakan melaporkan kenderaan sebagai “telah dijual” walaupun ia sebenarnya belum dibeli oleh pelanggan sebenar.
Modus operandi yang digunakan agak licik: insurans kenderaan diaktifkan lebih awal walaupun kereta masih berada di pusat pengedar atau gudang simpanan. Tindakan ini membolehkan kenderaan didaftarkan sebagai telah dijual. Antara Januari 2023 hingga Mac 2024, Neta dilaporkan menggunakan kaedah ini untuk lebih 64,000 kenderaan — lebih separuh daripada jumlah jualan yang diumumkan dalam tempoh tersebut. Zeekr, jenama mewah milik Geely, turut dilaporkan menggunakan taktik serupa di bandar Xiamen pada penghujung tahun 2024.
Walaupun teknik ini tidak dianggap menyalahi undang-undang pada masa ini, ia telah menimbulkan kontroversi. Kaedah ini digelar sebagai “jualan kereta terpakai sifar perbatuan”, kerana kenderaan yang telah diinsuranskan dan didaftarkan dianggap terpakai, walaupun ia tidak pernah digunakan. Ia mencerminkan tekanan hebat dalam pasaran EV China yang kian tepu dengan lambakan model dan persaingan harga yang agresif.



















































































































