Volvo Car Malaysia memperkenalkan semula Volvo EC40 – SUV crossover pertama Volvo Car Malaysia yang ditawarkan secara eksklusif sebagai model elektrik sahaja. Diperkenalkan pada Disember 2022 sebagai Volvo C40 Recharge, Volvo EC40 kini tampil dengan jarak pemanduan lebih jauh sehingga 554km serta warna luaran baharu, Cloud Blue, menekankan komitmen jenama ini dalam memperkemaskan penamaan model dan meningkatkan ketelusan kepada pelanggan.
Volvo EC40 mengekalkan pelbagai ciri utama serta tawaran selepas jualan, termasuk:
- Pek bateri 82kWh yang menyokong input pengecasan DC maksimum lebih tinggi sehingga 200kW—membolehkan pengecasan 10 hingga 80 peratus dalam hanya 28 minit
- Lampu hadapan piksel yang menggunakan sensor untuk mengawal pencahayaan ke hadapan dan mampu melaraskan kecerahan untuk kawasan tertentu. Ianya dapat mengekalkan jarak penglihatan pemandu tanpa menyilaukan lalu lintas dari hadapan
- Perkhidmatan Digital percuma selama lima tahun untuk akses kepada Google Assistant, Google Maps, Google Play Store dan fungsi kawalan jauh aplikasi Volvo Cars
- Pelan Servis Volvo (VSP) percuma selama lima tahun yang merangkumi penyelenggaraan berjadual secara menyeluruh di Pusat Servis Volvo bertauliah, memberikan ketenangan minda tambahan kepada pelanggan
Tambahan pula, Volvo EC40 kini hadir dalam warna luaran baharu – Cloud Blue, yang melengkapi pilihan warna sedia ada iaitu Onyx Black, Crystal White, Silver Dawn, dan Sage Green. Selain itu, Volvo EC40 kini menawarkan peningkatan jarak pemanduan per cas penuh sehingga 554km.