Piston.my

Berita Terkini

Deruman enjin berprestasi tinggi kembali menggamatkan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang apabila Porsche Malaysia, yang dikendalikan oleh Sime Darby Auto Performance, meraikan kembalinya Porsche Carrera Cup Asia (PCCA) ke Malaysia menerusi Pusingan 5, 6 dan 7 bagi musim 2025.

Pusingan di Malaysia tahun ini menjadi detik penting kerana ia menandakan pertengahan musim kejohanan, sekaligus menjanjikan aksi yang menggabungkan kelajuan luar biasa dan hiburan dramatik. Perlumbaan kali ini menyaksikan dua hari perlumbaan pecut yang sengit serta kembalinya format ketahanan yang amat dinanti-nantikan. Dikenali sebagai kejohanan perlumbaan satu buatan terulung di rantau ini, PCCA kini memasuki musim ke-22, dan terus mengekalkan reputasinya sebagai medan persaingan sejati. Setiap pemandu bertanding menggunakan jentera yang serupa – Porsche 911 GT3 Cup (992) – sekali gus menyerlahkan kemahiran dan strategi perlumbaan sebenar.

Sime Darby Auto Performance yang mewakili jenama Porsche di Malaysia terus menunjukkan komitmen utuh terhadap pembangunan sukan permotoran dan bakat tempatan. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Christopher Hunter, menyatakan bahawa PCCA bukan sekadar kejohanan kompetitif, tetapi simbol semangat sukan permotoran yang sentiasa menyala. Beliau turut menekankan usaha berterusan Porsche dalam menyokong pembangunan pelumba sebenar dan maya di seluruh rantau Asia.

(more…)

Model EV pertama Proton kini telah dilancarkan di pasaran eksport yang kedua. Pelancaran rasmi Proton e.MAS 7 telah berlangsung secara rasminya pada 5 Jun lalu, di Port Of Spain, ibu negara Trinidad dan Tobago, oleh bahagian jualan antarabangsa Proton (ISD) bersama pengedar rasmi kenderaan Proton, ANSA Motors. Negara ini merupakan pasaran antarabangsa kedua bagi model tersebut, menyusul tiga bulan selepas kemunculan antarabangsanya di Nepal. Dilancarkan di Malaysia pada Disember  2024, Proton e.MAS 7 kini menduduki tangga pertama sebagai model EV paling laris di Malaysia dan tempat ketiga di antara model eksport syarikat, disululi oleh Proton Saga dan Proton X50.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Jean-Marc Mouttet, Ketua Sektor ANSA Motors Limited dan Alexander  Sabga, Pengurus Besar, Pembangunan Perniagaan Baharu ANSA MCAL Ltd. ANSA Motors merupakan pengedar  rasmi Proton di negara Caribbean, satu pengiktirafan yang telah disandang sejak 2013. 

Agar dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pangkalan pelanggan EV yang semakin  berkembang, ANSA Motors telah memperkenalkan sebuah bilik pameran EV baharu yang moden dan canggih di The City of Grand Bazaar. Fasiliti serba baharu ini akan menawarkan pengalaman menyeluruh kepada pelanggan  untuk meneroka model EV, memahami teknologi EV serta menerima sokongan khusus. 

(more…)

Aston Martin sekali lagi menggegarkan dunia automotif dengan pelancaran Valkyrie LM, sebuah hypercar ultra-eksklusif yang bukan sahaja mencerminkan keupayaan teknologi mereka, tetapi juga menjadi simbol penghormatan terhadap sejarah gemilang jenama itu dalam perlumbaan 24 Hours of Le Mans. Hanya 10 unit akan dihasilkan, menjadikan model ini antara kenderaan paling eksklusif dalam sejarah Aston Martin.

Valkyrie LM diilhamkan daripada jentera perlumbaan Valkyrie Hypercar yang kini bersaing dalam Kejohanan Ketahanan Dunia FIA (World Endurance Championship – WEC) dan Kejohanan IMSA WeatherTech SportsCar. Ia dijana oleh enjin V12 aspirasi semula jadi bersesaran 6.5 liter hasil binaan Cosworth, yang telah ditala mengikut spesifikasi perlumbaan dengan kuasa mencecah 697hp—setara dengan jentera perlumbaan sebenar.

Pelancaran model ini tepat pada waktunya ketika Aston Martin menggiatkan kempen untuk menawan semula Le Mans secara keseluruhan, pencapaian terakhir yang direkodkan pada tahun 1959 menerusi Roy Salvadori dan Carroll Shelby dengan jentera ikonik DBR1. Valkyrie LM bukan sekadar sebuah kereta, tetapi lambang warisan perlumbaan yang telah bermula sejak penyertaan pertama Aston Martin di Le Mans pada tahun 1928.

Dari segi kejuruteraan, Valkyrie LM direka hampir menyamai jentera perlumbaan tulen. Perbezaan hanya terletak pada pengubahsuaian kecil bagi meningkatkan keselesaan dan kemudahan pemanduan dalam suasana bukan perlumbaan. Sistem elektronik serta balast yang diwajibkan FIA telah disingkirkan, manakala antara muka kokpit telah disesuaikan untuk penggunaan pemilik. Sistem kawalan tork gelung tertutup digantikan dengan sistem gelung terbuka yang lebih mudah dikendalikan, dan enjin pula ditala semula untuk menggunakan bahan api komersial.

(more…)

Sempena ulang tahun pertama jenama Proton e.MAS, PRO-NET mengumumkan bahawa e.MAS 7 terus menjadi model EV No.1 di Malaysia, dengan 3,632 unit terjual setakat 31 Mei 2025, merangkumi 3,399 unit dalam negara dan 233 unit yang telah dieksport diluar. Pencapaian ini dicapai hanya dalam tempoh lima bulan sejak penghantaran bermula pada Januari 2025, menjadikan e.MAS 7 sebagai kenderaan elektrik yang paling pantas terjual di Malaysia.

Pencapaian ini hadir tepat setahun selepas pelancaran jenama Proton e.MAS. Diperkenalkan pada 12 Jun 2024, jenama ini melancarkan model utamanya, e.MAS 7, pada 16 Disember 2024  yang kini telah muncul sebagai peneraju dalam segmen kenderaan elektrik yang kian pesat berkembang di Malaysia.

Walaupun berdepan tekanan harga dalam pasaran EV, e.MAS 7 terus menunjukkan prestasinya yang kukuh, mencerminkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap jenama Proton dan komitmennya terhadap kualitinya.

“Sambutan hebat daripada rakyat Malaysia ini amat memberangsangkan. Ia membuktikan bahawa strategi kami berada di landasan yang betul, mengukuhkan keyakinan terhadap jenama Proton e.MAS, dan mengesahkan nilai pelaburan dalam inovasi tempatan,” kata Zhang Qiang, CEO PRO-NET. “Kejayaan e.MAS 7 menjadi petunjuk jelas arah tuju pasaran, dan kami berbangga menjadi peneraju dalam perubahan ini.”

(more…)

Ketika Porsche bersiap sedia menyahut cabaran perlumbaan 24 Jam Le Mans yang penuh berprestij, jenama legenda dari Jerman ini telah memperkenalkan sebuah ciptaan luar biasa—Porsche 963 RSP. Jentera jalan raya ini ialah adik kepada 963 Hypercar, dibina sebagai penghormatan kepada salah satu pelumba ketahanan paling ikonik dalam sejarah Porsche, iaitu 917, dan sempena ulang tahun ke-50 perjalanan berani dari Zuffenhausen ke Paris pada tahun 1975.

963 RSP lahir hasil kerjasama antara Porsche AG, Porsche Penske Motorsport, Porsche Cars North America, dan ikon sukan permotoran, Roger Penske—di mana huruf awal namanya digunakan sebagai nama model ini. Projek ini diinspirasikan oleh kisah benar Count Gregorio Rossi di Montelera yang memandu Porsche 917 di jalan awam dari Stuttgart ke Paris dengan hanya pengubahsuaian minimum, menjadikannya legenda dalam komuniti automotif.

Menurut Presiden dan CEO Porsche Cars North America, Timo Resch, “Projek ini bermula sebagai satu eksperimen yang penuh semangat di kalangan pasukan kecil peminat Porsche dan Penske. Kami mahu membina 963 yang mengekalkan semangat perlumbaan tulen, sambil menghormati detik bersejarah dalam sejarah Porsche.”

(more…)

Sime Motors telah mencipta satu lagi penanda aras dalam industri automotif tempatan dengan pembukaan rasmi bilik pameran flagship Denza yang serba baharu. Terletak strategik di sepanjang Jalan Klang Lama, kemudahan baharu ini dibina khas untuk menawarkan pengalaman peruncitan automotif bertaraf tinggi, menggabungkan kemewahan, inovasi dan penglibatan pelanggan secara menyeluruh.

Dengan keluasan melebihi 8,000 kaki persegi, bilik pameran ini direka bagi menampilkan enam buah kenderaan paparan, sebuah ruang istirahat pelanggan yang elegan serta lima ruang perkhidmatan lanjutan yang serba moden. Reka bentuk dalaman dan susun atur keseluruhan ruang mencerminkan aspirasi Sime Motors untuk mengintegrasikan teknologi terkini dengan layanan premium, menjadikannya penanda aras baharu dalam landskap peruncitan automotif di Malaysia.

Bagi meraikan pelancaran rasmi kemudahan ini, Sime Motors telah menganjurkan sebuah Malam Gala eksklusif yang dihadiri oleh para tetamu jemputan. Acara berprestij itu menampilkan hiburan bertaraf tinggi, hidangan gourmet serta upacara perasmian yang menggambarkan pengalaman mewah dan sofistikated yang ingin ditawarkan kepada setiap pelanggan yang melangkah masuk ke bilik pameran ini.

(more…)

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube