Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd bakal mencatat sejarah sebagai jenama automotif China pertama yang mengeksport kenderaan dari Malaysia ke pasaran Asia Tenggara (SEA) pada tahun ini. Langkah ini menandakan pencapaian penting dalam strategi Chery untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran serantaunya.
Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen, menegaskan komitmen syarikat dalam mengembangkan kehadirannya di rantau ini.
“Chery sedang berkembang dengan baik ke arah mewujudkan Malaysia sebagai hab pengeluaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) kami di Asia Tenggara. Memperluaskan keupayaan eksport kami membolehkan peningkatan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di rantau ini,” katanya.
Chen turut menekankan peranan penting Chery dalam menyumbang kepada ekonomi Malaysia, membangunkan tenaga kerja tempatan, serta memperkukuh rantaian bekalan. Syarikat itu juga berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab eksport utama bagi model kenderaannya, termasuk sub-jenama premium Jaecoo.





