Mahkamah Tinggi baru-baru ini memerintahkan Lee Lap Kee, pemilik Eco Auto Supply, membayar RM516,777 kepada Perodua Otomobil Kedua Sdn Bhd dan Perodua Sales Sdn Bhd akibat pelanggaran tanda dagangan melibatkan minyak pelincir tiruan berjenama Perodua.
Kes ini bermula apabila pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyerbu premis perniagaan Lee pada 16 Mei 2019. Dalam serbuan tersebut, barangan tiruan seperti botol minyak enjin dan pelapik penutup berjenama Perodua telah dirampas. Lee didakwa di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, di mana beliau mengaku bersalah dan dikenakan denda RM52,920 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.


