Piston.my

Jualan Proton Meningkat 13.6% Sejajar Dengan Sentimen Pasaran Positif

Proton mencatatkan kadar pertumbuhan jualan sebanyak 13.6% berbanding bulan sebelumnya dengan 12,522 unit (domestik dan eksport) terjual pada bulan Mei  tahun ini. Jualan untuk lima bulan pertama yang dicatatkan iaitu 62,697 unit telah mengukuhkan kedudukan tempat kedua dalam keseluruhan jualan automotif nasional dengan pegangan pasaran dianggarkan pada 19%. 

Pertumbuhan jualan yang didaftarkan oleh Proton pada bulan Mei adalah selaras dengan trend jumlah volum  industri (TIV) yang dianggarkan meningkat sebanyak 20.7% kepada kira-kira 70,000 unit pada bulan Mei. Secara  kumulatif, angka tahun sehingga kini (YTD) untuk TIV dianggarkan pada 330,236 unit, bersamaan dengan  peningkatan 8.8% berbanding tahun 2023.  

Penghantaran tertinggi dicatatkan pada bulan Mei berikutan sentimen pasaran yang bertambah baik

Rancangan Proton untuk mengembangkan dan membina semula jenamanya di negara-negara seperti Trinidad  dan Tobago, Bangladesh dan Iraq tahun ini telah terbukti membuahkan hasil apabila jualan eksportnya mencapai  509 unit pada bulan Mei, penghantaran tertinggi yang dicatatkan untuk 2024 setakat ini.  

Sejak Februari tahun ini, model eksport paling laris ialah Proton Saga, yang sekali lagi mendahului model yang  lain dengan 360 unit dieksport dalam bulan Mei. Kebanyakan model juga mencatatkan peningkatan jualan eksport,  menjadikan jualan eksport kumulatif kepada 1,344 unit sejak Januari tahun ini berbanding 820 unit untuk tempoh  masa yang sama pada tahun 2023. Ini bersamaan dengan peningkatan 63.9% dalam jualan eksport YTD. 

Proton X90 dan Proton S70 mengakhiri bulan Mei sebagai peneraju jualan segmen

Dengan sistem hibrid sederhana yang meningkatkan prestasi dan kecekapan bahan api, SUV utama syarikat,  Proton X90, merampas kembali gelaran SUV segmen-D paling popular di Malaysia dengan 364 unit terjual.  Sementara itu, jualan Proton Saga meningkat 21.6% kepada 6,119 unit di bulan Mei membawa jualan tahun  sehingga kini meningkat sebanyak 8% ke 29,397 unit, kerana ia kekal menjadi produk yang menarik kepada  pembeli kereta Malaysia.  

Peneraju pasaran Proton yang lain pada bulan Mei ialah sedan segmen C, Proton S70. Jualannya meningkat  23% kepada 2,011 unit daripada 1,635 unit pada bulan April, dan jualan kumulatif untuk lima bulan pertama 2024  kini berjumlah 9,474 unit.  

Bagi model Proton yang lain, jualan untuk Proton X70 mencapai 523 unit manakala sedan segmen-B, Proton  Persona mencapai 1,645 unit, menjadikan jumlah YTD sebanyak 8,444 unit. Sementara itu, hatchback segmen B, Proton Iriz, menambah 452 unit kepada volum jualan Mei, menjadikan jumlah jualan sehingga kini 2,410 unit.  

Akhirnya, SUV segmen-B yang memenangi anugerah kegemaran Malaysia, Proton X50, mencapai jualan  sebanyak 1,407 unit pada bulan Mei. Permintaan dijangka meningkat berikutan pelancaran model Proton X50  2024 yang diperbaharui pada 4 Jun yang memperkenalkan beberapa siri peningkatan dan memberikan pengalaman yang lebih berteknologi maju serta diperhalusi.  

“Berikutan jualan yang perlahan pada bulan April di mana ianya terjejas akibat cuti perayaan, bulan Mei telah  menunjukkan pertumbuhan positif dengan peningkatan TIV tahun ke tahun dan bulan ke bulan, mencerminkan  daya tahan industri automotif tempatan. Dengan TIV kumulatif sehingga bulan Mei sudah mencapai 44.6%  daripada unjuran setahun Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 740,000 unit, kami percaya masih ada  ruang untuk pertumbuhan dalam industri automotif tempatan. 

“Memasuki separuh kedua tahun 2024, Proton akan fokus pada peningkatan jualan melalui kemas kini model  sedia ada, sambil mengambil langkah pertama kami memasuki pasaran EV. Dengan memanfaatkan kekuatan  rakan kongsi kami, Geely, persoalannya bukanlah sama ada tetapi bila Proton akan mendedahkan kenderaan elektrik kami sendiri, jadi sila menumpukan perhatian kerana terdapat banyak pengumuman menarik tidak lama  lagi,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan