Piston.my

Berita Terkini

Sejak diperkenalkan di Jepun pada era 1990-an, Nissan Serena telah mengukuhkan kedudukannya sebagai antara MPV bersaiz sederhana paling berpengaruh di pasaran. Model ini terkenal dengan ruang dalaman yang praktikal, fleksibiliti tempat duduk dan kebolehpercayaannya, menjadikannya pilihan utama dalam kalangan keluarga Malaysia. Komitmennya terhadap keselesaan, kecekapan dan utiliti menjadikan Serena sebuah model yang konsisten berada dalam senarai MPV terlaris di negara ini.

Perjalanan Serena di Malaysia memasuki fasa baharu pada tahun 2013 dengan kemunculan C26 Serena S-Hybrid. Model ini memperkenalkan teknologi penjimatan bahan api yang lebih moden, disertai kabin serba bijak yang memenuhi keperluan keluarga harian. Ia kemudian disusuli oleh generasi C27 Serena S-Hybrid, yang membawa penambahbaikan dalam aspek keselamatan, teknologi bantuan pemandu dan ciri mesra pengguna, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai MPV keluarga yang menyeluruh.

Kini, ketibaan C28 Serena generasi keenam membuka lembaran baharu dalam evolusi model ini. Serena e-POWER Serba Baharu bukan sekadar naik taraf, tetapi satu perubahan falsafah. Ia menggunakan sistem pacuan elektrik sepenuhnya, menyasarkan tahap penghalusan, kelancaran dan prestasi yang jarang ditemui dalam segmen MPV tradisional. Pendekatan ini jelas menunjukkan aspirasi Nissan untuk melangkaui jangkaan dan mentakrifkan semula apa yang sepatutnya ditawarkan oleh sebuah MPV moden.

(more…)

Toyota sekali lagi menarik perhatian dunia automotif dengan memperkenalkan GR GT, sebuah supercar sah jalan raya yang dibangunkan berasaskan falsafah dan teknologi perlumbaan. Model ini digambarkan sebagai kesinambungan warisan jenama, mengikuti jejak ikon seperti Toyota 2000GT dan Lexus LFA — dua model yang terkenal kerana inovasi serta prestasi luar biasa.

GR GT dibangunkan dengan tiga objektif utama: mencapai pusat graviti yang sangat rendah, mengurangkan berat keseluruhan, dan menghasilkan struktur badan yang kukuh serta aerodinamik. Berdasarkan angka awal, Toyota jelas komited terhadap misi tersebut. Supercar ini disasarkan untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 640 hp, memiliki ketinggian badan yang amat rendah, serta menggunakan rangka aluminium sepenuhnya — yang pertama seumpamanya bagi Toyota — bagi memastikan berat dapat diminimumkan.

Kuasa GR GT datang daripada enjin V8 berkembar turbo generasi baharu, dipadankan dengan sebuah motor elektrik yang ditempatkan dalam transaxle belakang. Sistem hibrid ini menyasarkan gabungan kuasa minimum 640 hp dan 850 Nm, dihantar ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan kelajuan. Toyota turut menegaskan bahawa angka tersebut merupakan sasaran awal, memberi gambaran bahawa model pengeluaran sebenar mungkin lebih berkuasa.

(more…)

Proton mengambil satu lagi langkah penting dalam strateginya menuju elektrifikasi apabila memperkenalkan buat pertama kali model hibrid plug-in pertamanya, e.MAS 7 PHEV, sempena Pameran Teknologi Proton di Shah Alam. Walaupun belum dilancarkan secara rasmi, pratonton ini menandakan kesediaan Proton untuk memasuki pasaran PHEV, sekali gus menambah dimensi baharu kepada barisan produk tenaga baharu jenama itu.

Model e.MAS 7 PHEV merupakan adaptasi pasaran Malaysia bagi Geely Starray EM-i, model yang kini dijual di China. Ia berkongsi banyak komponen dengan versi elektrik sepenuhnya, e.MAS 7. Unit pra-pengeluaran yang dipamerkan menampilkan logo harimau Proton yang besar pada bahagian hadapan dan panel kaca sisi.

Dari segi janakuasa, Proton menggunakan enjin 1.5 liter milik Geely yang telah diolah khusus untuk aplikasi hibrid. Enjin tersebut beroperasi menggunakan kitaran Atkinson, direka bentuk dengan komponen lebih ringkas serta dilengkapi sistem EGR khas bagi meningkatkan kecekapan bahan api. Menariknya, enjin tidak berhenti mengecas bateri melainkan diperlukan, memastikan operasi yang lebih bersih dan menjimatkan.

(more…)

Proton melancarkan acara Proton Technology Showcase di fasiliti Centre  of Excellence (COE), mempamerkan gabungan teknologi EV dan ICE terkini. Pameran ini turut disertakan dengan barisan  penuh model-model terbaharu Proton serta siri pembentangan dan perbincangan mengenai trend dan teknologi  automotif masa kini dan masa hadapan. 

Majlis ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong, bersama-sama Timbalan Ketua  Pegawai Eksekutif Proton, Dato’ Abdul Rashid Musa. 

Terokai inovasi Proton dan ikuti perkembangan penting industri automotif 

Proton Tech Showcase membuka peluang kepada pengunjung untuk mengetahui dengan lebih mendalam teknologi yang  membangunkan model-model terbaharu Proton. Pameran ini menghimpunkan pencapaian kejuruteraan paling penting  syarikat di bawah satu bumbung, sekali gus memberi akses eksklusif untuk melihat dengan lebih dekat inovasi terkini  dalam elektrifikasi, pembangunan rangkaian kuasa dan kesambungan pintar. Antara tarikan utama yang dipamerkan ialah  platform GMA, bateri Short Blade serta enjin dan transmisi PHEV terbaharu Proton.

ACO Tech turut menampilkan  pameran kesambungan pintar yang merangkumi teknologi AR dan AI. Barisan model terkini Proton seperti Proton X50,  Proton e.MAS 5 dan Proton Saga serba baharu juga akan dipamerkan, bersama sebuah model yang akan membuat  penampilan pertama kepada umum sebelum pelancarannya pada awal 2026. 

(more…)

Toyota dah umumkan yang ia akan jadi penaja utama pasukan Haas Formula One (F1) pada tahun 2026, mengambil alih tempat syarikat pembayaran digital, Moneygram.

Toyota pernah keluar dari sukan ni secara rasmi pada tahun 2009, tapi kembali ke F1 tahun lepas dengan Haas. Ini semua sebahagian daripada kerjasama teknikal melalui bahagian pembangunan dan penyelidikan sukan permotoran Toyota, iaitu Toyota Gazoo Racing (TGR).

Pengumuman ni sebenarnya taklah mengejutkan sangat. Sebab, salah satu elemen penting dalam kerjasama bertahun-tahun ni dah ditandatangani pada 2024 dan ia berfokus ke program Testing of Previous Car (TPC) Haas yang pertama, yang mula berjalan pada 2025.

Sepanjang 14 hari, pelumba Jepun macam Ryo Hirakawa, Ritomo Miyata, Sho Tsuboi, dan veteran Kamui Kobayashi semua dah diberi peluang memandu kereta generasi terdahulu melalui kaitan dorang dengan TGR.

Perjanjian ni juga dah bagi green light untuk pasang simulator yang pertama di markas Haas di Banbury, UK, dan dijangka akan mula beroperasi musim depan.

Pengerusi Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda, kata: “Sepanjang cabaran kita pada musim 2025, saya nampak pemandu dan jurutera muda TGR mula percaya pada potensi diri dorang dan sasarkan impian yang lebih besar lagi.”

“Tengok perubahan ni buat saya tersentuh sangat. Dan hari ini, saya boleh cakap dengan yakin, Toyota akhirnya dah mula bergerak—betul-betul bergerak. Saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Gene Haas dan Ayao Komatsu (Ketua Pasukan Haas) sebab sokong ahli muda kita, percaya pada potensi dorang, dan hadapi masa depan dengan semangat dan pandangan yang sama.”

“Dengan bawa kerjasama kita dengan Haas selangkah ke hadapan lagi tahun depan, mantera TGR— People, Product, Pipeline’—akan pecut laju cara yang tak pernah kita nampak sebelum ni.”

“Dah tiba masanya untuk generasi seterusnya ambil langkah pertama dorang ke pentas dunia. Bersama Gene Haas, Ayao, dan semua orang kat Pasukan TGR Haas F1, kita akan bina budaya dan pasukan untuk masa depan. Toyota memang betul-betul dah on the move sekarang.”

Perjanjian baru Toyota ni akan berjalan seiring dengan perjanjian Haas yang sedia ada dengan Ferrari. Perjanjian tu dah bermula sejak Haas masuk F1 pada 2016, dan termasuk bekalan enjin, gearbox, dan beberapa bahagian terpilih Ferrari serta penggunaan simulator Ferrari di Maranello.

Haas sekarang ni berada di tempat kelapan dalam Kejuaraan Pasukan, beza tujuh mata je di belakang Aston Martin, dengan satu pusingan lagi kat Abu Dhabi hujung minggu ni.

Dengan perjanjian ni, orang tak boleh tak fikir sama ada Toyota ni perlahan-lahan nak kembali dengan ‘Toyota factory team’ ke Formula One.

Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahunnya yang ke-25, Honda Malaysia telah menganjurkan kempen untuk menghadiahkan sebuah Honda City Hatchback RS serta sebuah Honda WR-V RS.

Dan para pemenang telah diumumkan hari ini (4 Disember 2025) dan kereta-kereta tersebut diserahkan di satu majlis penghargaan.

Pemenang bertuah Honda City Hatchback RS, iaitu Encik Chin Boon Hao, telah menyertai kempen tersebut selepas membeli sebuah Honda Civic serba baharu.

Pemenang Honda WR-V RS baharu pula ialah Cik Avis Ou Xiao Qian dari Sarawak, dan beliau mengambil bahagian dalam peraduan ini selepas membeli Honda CR-V baharu.

Honda City Hatchback RS serta WR-V RS adalah antara enam hadiah utama yang ditawarkan bersempena dengan cabutan bertuah kempen “Kerana Anda” ulang tahun ke-25 Honda Malaysia.

Hadiah utama yang lain ialah Honda City RS, Civic RS, HR-V Baharu, Honda CR-V e:HEV RS, serta rebat Honda Insurance Plus.

Mekanisme peraduan ini melibatkan pengumpulan mata sama ada dengan memandu uji Honda baharu atau mendaftarkan mana-mana model Honda baharu. Lebih banyak penyertaan dikumpul, lebih tinggi peluang untuk memenangi model Honda.

Dua pemenang akan diumumkan setiap bulan di laman Facebook rasmi Honda Malaysia dan melalui rangkaian pengedarnya.

Honda Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 2000 sebagai usaha sama di antara Honda Motor Company Ltd (Jepun), Oriental Holdings Berhad dan DRB Hicom.

Pada tahun 2003, pemasangan tempatan bermula di kilang syarikat di Pegoh, Melaka, dengan Honda CRV generasi kedua menjadi model Honda yang pertama dipasang di Malaysia.

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube