Piston.my

Proton e.MAS 7 Dilancarkan Secara Rasmi – 3,000 Pelanggan Pertama dapat rebat RM 4,000

Proton, pada hari ini melangkah ke era baharu dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) apabila cabang kenderaan tenaga baharunya, PRO-NET, melancarkan Proton e.MAS 7 sebagai kenderaan elektrik pertama negara. Pelancaran bersejarah ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan menandakan satu babak baharu dalam usaha Malaysia memperkukuhkan komitmen terhadap mobiliti lestari dengan mendorong penggunaan EV untuk pengurangan jejak karbon.

Memanfaatkan Kerjasama Teknikal dalam Memperkasakan Malaysia untuk Peralihan ke Mobiliti Lestari

Proton melihat pelancaran EV nasional pertama Malaysia sebagai langkah ke arah kelestarian dan inovasi dalam sektor pengangkutan negara. Usaha ini selaras dengan Plan Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara dengan pelepasan karbon sifar menjelang 2050. Pelancaran jenama e.MAS serta Proton e.MAS 7 adalah antara langkah utama yang diambil untuk mencapai matlamat ini.

EV nasional pertama adalah hasil usaha gigih Proton dalam membangunkan kenderaan elektrik sulungnya. Proton e.MAS 7 menonjolkan komitmen syarikat terhadap inovasi dan menjadi bukti kerjasama erat dengan rakan kongsi, Geely. Proton dan GEELY telah meluangkan lebih 700,000 jam kerja untuk membangunkan model ini dan kemudian menjalankan ujian sejauh 100,000 km merentasi pelbagai jenis permukaan jalan di Malaysia serta dalam pelbagai keadaan cuaca yang mencabar.

Proton e.MAS 7 Mendahului Inovasi, Dilengkapi Teknologi Terkini dan Ciri Keselamatan 5 Bintang

Proton e.MAS 7 serba baharu hadir dalam dua varian, Prime dan Premium yang ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu Platinum Silver, Turquoise Green, Slate Grey, Quartz Rose dan Lithium White. Warna-warna ini dipilih untuk melengkapi gaya yang menyerlahkan reka bentuk Proton e.MAS 7.

Dengan cogan kata ‘Intelligence that Electrifies’, EV pertama Proton dilengkapi dengan teknologi terkini. Dibina pada platform Global Modular Architecture (GMA) dan dikuasakan oleh sistem pendorong elektrik canggih 12-dalam-1 yang terbaik, ia menampilkan seni bina bateri Cell-to-Body (CTB) yang inovatif. Menariknya, ia juga memperkenalkan Aegis Short-Blade Battery, generasi baharu bateri lithium iron phosphate (LFP), yang menetapkan piawaian baharu dalam keselamatan, kecekapan, dan prestasi untuk kenderaan elektrik. SUV elektrik segmen C ini dilengkapi dengan L2-ADAS (Sistem Bantuan Pemandu Tahap 2) dan Kamera Pandangan 360 Darjah, memperoleh penarafan 5-Bintang ASEAN NCAP.

Unit pemanduan elektrik 12-dalam-1 menghasilkan 160kW dan 320Nm tork, menggerakkan e.MAS 7 dari 0 hingga 100km/j dalam masa 6.9 saat dan jarak brek dari 100km/j hingga berhenti sepenuhnya dapat dicapai dalam hanya 35 meter. Versi Prime dilengkapi dengan bateri 49.52kWh dengan jarak WLTP 345km, manakala varian Premium menawarkan bateri 60.22kWh, menambahkan jarak kepada 410km. Kedua-dua varian ini menyokong pengecasan pantas DC yang membolehkan pengecasan dari 30% hingga 80% hanya dalam masa 20 minit, mendapatkan semula sehingga 135km jarak dalam hanya 10 minit pengecasan.

Di dalam bahagian ruang kabin, pengalaman pemandu dipertingkatkan semasa memandu dengan kerusi kereta terdapat aliran penyaman udara yang sangat selesa dan ruang kaki yang luas serta terdapat 33 ruang penyimpanan. Dipadankan dengan sistem Flyme Sound 16 pembesar suara bersama Sistem WANOS dan Pencahayaan Ambien 256 warna terbaik dalam kelasnya, paparan pemuka 15.4 inci dengan resolusi 2.5K dilengkapi dengan peta pengecasan yang diintegrasi untuk membantu mencari lebih 1,700 poin pengecasan, dengan rangkaian yang semakin berkembang lebih daripada 85% di seluruh Malaysia. Perkembangan ini adalah hasil daripada kerjasama dengan pengendali poin pengecasan (CPO), termasuk Gentari, JomCharge, chargEV, dan DC Handal, Carput Zap dan ChargeSini.

“Dari menjadi jenama SUV paling laris di Malaysia, PRO-NET berhasrat untuk mengikuti langkah kejayaan ini dengan Proton e.MAS dalam segmen EV. Kami tahu ini adalah segmen yang sangat kompetitif, tetapi kami yakin sepenuhnya dengan tawaran kami dan matlamat kami adalah untuk terus berinovasi serta membolehkan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat untuk beralih ke mobiliti lestari. Untuk masa akan datang, kami merancang untuk mengeksport model ini bermula dengan Singapura, Trinidad & Tobago, Mauritius dan Nepal tahun depan, yang akan membantu kami mengukuhkan kedudukan kami di pasaran antarabangsa dan memperkukuhkan komitmen kami untuk menyediakan penyelesaian mobiliti mesra alam dan mudah diakses di seluruh dunia,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.

PRO-NET telah melantik 37 pengedar di seluruh negara setakat ini, dan 30 daripadanya akan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2024. Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai model ini, sila muat turun Aplikasi Proton e.MAS dari Apple App Store, Google Play Store, dan Huawei App Gallery untuk membuat tempahan atau lawati https://emas.Proton.com/.

Enam Power Pack dengan Harga Pelancaran Istimewa Untuk 3,000 Pelanggan Pertama

Bagi menyambut pelancaran Proton e.MAS 7, pembeli akan menerima pakej manfaat yang komprehensif, untuk tawaran masa terhad, bernilai sehingga RM8,000 untuk pemilikan kenderaan ini. Enam Power Pack Pelancaran adalah seperti berikut:

Power Home
• Pengecas 7kW Home Charger Percuma bernilai RM 1,500

Power Plus
• V2L Adaptor Percuma bernilai RM 500

Power Online
• 5-Tahun Data Internet Tanpa Had bernilai RM 1,800

Power Thru
• Jaminan Kenderaan Jarak Tanpa Had selama 6 tahun
• Jaminan Bateri dan Komponen Bervoltan Tinggi 8-Tahun / 160,000km

Power Financing
• Kadar Faedah 1.98% dari Proton Commerce sehingga RM3,000

Power Exchange
• Rebat Eksklusif Proton Owner Trade-In bernilai RM 1,200

Harga Atas Jalan (tanpa insurans) bagi Proton e.MAS 7 Prime dan Premium adalah seperti berikut:

Varian Semenanjung Malaysia  
e.MAS 7 Prime RM 109,800  
e.MAS 7 Premium RM 123,800  

 

Tawaran Pelancaran Istimewa untuk 3,000 Pelanggan Pertama dengan rebat RM 4,000, Harga Atas Jalan (tanpa insurans) bagi Proton e.MAS 7 Prime dan Premium adalah seperti berikut:

 

Variant Semenanjung Malaysia  
e.MAS 7 Prime RM 105,800  
e.MAS 7 Premium RM 119,800  

 

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan