Honda Malaysia mencatat kejayaan membanggakan dengan penjualan lebih 11,300 unit Honda CR-V Generasi Ke-6, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai SUV Mid-Size No.1 pada tahun 2024. Dengan pegangan pasaran sebanyak 36% dalam segmennya, CR-V terus menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Encik Hironobu Yoshimura, melahirkan rasa gembira atas sambutan luar biasa terhadap CR-V. “Sejak dilancarkan pada Disember 2023, model ini telah menerima permintaan pasaran yang tinggi, menyumbang kepada pertumbuhan segmen sebanyak 40% tahun ke tahun. CR-V kini merupakan model ketiga terlaris dalam barisan Honda Malaysia untuk 2024,” katanya.
Peningkatan Permintaan untuk Varian Hibrid dan Petrol
Kejayaan ini turut dipacu oleh varian hibrid 2.0L e:HEV RS, yang menyumbang 20% daripada jumlah jualan CR-V. Dalam segmen SUV Hibrid Mid-Size, e:HEV RS menguasai 87% pasaran, mencerminkan kepercayaan tinggi pengguna terhadap teknologi hibrid Honda.
Sementara itu, varian petrol kekal popular, dengan varian E menjadi pilihan utama pelanggan, menyumbang 40% daripada jumlah jualan. Encik Yoshimura turut menzahirkan penghargaan kepada pelanggan atas sokongan yang berterusan.








