Piston.my

Dalam Negara

Chery Auto Malaysia kini memperkukuh kehadirannya dalam segmen SUV kompak tempatan dengan pelancaran Tiggo Cross, sebuah model serba baharu yang tampil dengan dua pilihan enjin — petrol 1.5L pengecas turbo dan hibrid 1.5L CSH. Kedua-dua varian direka khas untuk pengguna yang mementingkan nilai, keselesaan dan ciri keselamatan tanpa mengorbankan sentuhan premium.

Bagi peminat pemanduan responsif, Tiggo Cross 1.5 Turbo dikuasakan oleh enjin petrol pengecas turbo yang menjana 147PS dan 210Nm tork, dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) 6-kelajuan. Model ini mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 10.3 saat dalam mod Sport, dengan penggunaan bahan api sekitar 6.3L/100km.

Sementara itu, Tiggo Cross 1.5 Hybrid CSH menawarkan gabungan enjin petrol dan motor elektrik, menghasilkan 204PS dan tork 310Nm. Ia dilengkapi dengan transmisi DHT150 elektronik dan lebih menjimatkan minyak pada 5.4L/100km, dengan pecutan lebih pantas iaitu 8.9 saat dari 0 ke 100 km/j.

Kedua-dua model berkongsi dimensi yang sama — panjang 4,318mm, lebar 1,830mm dan tinggi 1,670mm, dengan jarak roda 2,610mm — saiz yang hampir menyerupai Proton X50. Suspensi menggunakan topang MacPherson di hadapan dan rasuk kilasan di belakang, serta sistem brek cakera berventilasi depan dan cakera pepejal belakang.

Masuk ke dalam kabin, Tiggo Cross menampilkan tempat duduk kulit tiruan, penyaman udara automatik dwi zon dengan bolong belakang, dan stereng kulit pelbagai fungsi. Terdapat juga tempat letak tangan depan dan belakang, pencahayaan ambien, pengecas telefon tanpa wayar, butang penghidup enjin jauh dan bahan lembut pada papan pemuka.

Tempat duduk pemandu boleh dilaras secara elektrik (dengan sokongan lumbar), manakala tempat duduk penumpang hadapan boleh dilaras secara manual. Tempat duduk belakang pula berkonfigurasi 60:40 dan hadir dengan tiga tempat letak kepala. Tiga port USB (dua di depan, satu di belakang) disediakan secara standard.

Bahagian hiburan dan informasi pula menampilkan dua skrin bersaiz 10.25 inci — satu untuk paparan pemandu dan satu lagi untuk infotainmen. Sistem ini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta sambungan Bluetooth, pembantu suara pintar, kamera panorama HD 540°, dan sistem audio 6 pembesar suara.

Rekaan luar Tiggo Cross tidak kurang hebatnya. Ia hadir dengan lampu utama LED automatik, DRL, lampu kabus, rel bumbung, spoiler belakang dan roda aloi 18 inci dengan angkup brek merah — menyerlahkan aura sporty dan moden. Fungsi “Follow Me Home” turut disediakan bagi memudahkan pemanduan malam.

Keselamatan menjadi keutamaan Chery, dengan kedua-dua varian dilengkapi sistem seperti Electronic Stability Program (ESP), Brake Assist System (BAS), Hill Start Assist (HAC), Traction Control System (TCS), Emergency Brake Assist (EBA) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Varian Turbo hadir dengan 6 beg udara, manakala versi Hibrid menawarkan 7 beg udara dan pakej keselamatan lebih lengkap menerusi sistem Advanced Driving Assistance System (ADAS). Ini merangkumi fungsi seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keep Assist (LKA), Forward Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB) serta ciri tambahan seperti Traffic Jam Assist (TJA) dan Multi-Collision Brake (MCB).

Model Turbo turut menyediakan sistem bantuan pemanduan termasuk Amaran Titik Buta, Amaran Keluar Lorong, Amaran Trafik Palang Belakang serta Amaran Pembukaan Pintu — memberikan keyakinan tambahan ketika memandu di bandar mahupun lebuh raya.

Harga bermula dari RM88,800 untuk 1.5 turbo dan RM99,800 untuk 1.5 Hybrid CSH. Pakej early bird terdiri daripada perkhidmatan percuma selama dua tahun.

Sejak diperkenalkan pada 1985, Proton Saga kekal sebagai pilihan utama rakyat Malaysia yang mencari kereta praktikal dan mampu milik untuk keperluan harian. Model ini terus menarik perhatian golongan  siswazah baharu dan pembeli kereta kali pertama, membuktikan kedudukannya yang masih relevan dalam pasaran  hingga ke hari ini. Pada tahun ini, Proton Saga menyambut ulang tahun ke-40 pengeluarannya, dan kini ia diiktiraf sebagai  ikon nasional serta model Proton paling laris dengan lebih dua juta unit di jual di seluruh dunia. 

Sepanjang empat dekad, Proton Saga telah melalui pelbagai perubahan bagi memenuhi cita rasa dan keperluan semasa  para pengguna. Namun, ia tetap mengekalkan ciri-ciri utama yang menjadi kekuatannya iaitu praktikal, mampu milik serta  keupayaan pengendalian yang terbaik dalam kelasnya. Kualiti Proton Saga juga telah dipertingkatkan dengan ketara,  berdasarkan penurunan skor dalam Global Consumer Product Audit (GCPA) daripada 2,580 mata pada Ogos 2024  kepada hanya 1,050 mata pada Mei 2025.  

GCPA merupakan kaedah audit kualiti yang digunakan oleh kumpulan Geely dan diadaptasi oleh Proton, di mana skor  lebih rendah menunjukkan tahap kualiti yang lebih tinggi. Skor ini menilai isu-isu yang berlaku di barisan pengeluaran  mengikut tahap kesulitan masing-masing. 

(more…)

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan panggilan balik keselamatan membabitkan beberapa model kenderaan daripada jenama Kia dan Mercedes-Benz berikutan potensi kecacatan pada struktur, sistem atau komponen yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya. Langkah ini diambil sebagai langkah pencegahan bagi memastikan pemeriksaan dan pembetulan segera dapat dilakukan, sekali gus mengelakkan sebarang risiko kemalangan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa antara model yang terlibat ialah 5,123 unit Kia Rio UB, yang dikeluarkan dari tahun 2010 hingga 2017. Kenderaan ini dikenal pasti berkemungkinan mengalami masalah litar pintas elektrik pada papan litar Unit Kawalan Elektronik Hidraulik (HECU), yang boleh membawa kepada risiko kebakaran sekiranya tidak ditangani segera.

Selain itu, sebanyak 32 unit Mercedes-Benz yang dikeluarkan antara tahun 2023 dan 2025 turut termasuk dalam panggilan balik tersebut. Model-model yang terlibat termasuk S 580 e, GLC 300 4MATIC, EQS 500, AMG SL 43, EQE 53 dan EQS 53, yang dilaporkan mempunyai isu pemasangan kotak fius yang tidak sempurna. Kecacatan ini boleh menjejaskan operasi sistem elektrik dan keseluruhan kebolehpercayaan kenderaan.

(more…)

Puspakom telah mengeluarkan amaran tegas kepada para pengedar kenderaan serta syarikat pengeluar dan pengedar tint tingkap yang menyebarkan maklumat mengelirukan berkaitan peranan agensi itu dalam pemeriksaan kenderaan, khususnya melibatkan pematuhan terhadap peraturan warna tingkap. Langkah ini diambil susulan penemuan kad waranti yang dikeluarkan oleh sebuah jenama tint terkenal, yang menyatakan bahawa produk mereka “mematuhi JPJ” tetapi “tidak mematuhi Puspakom” — satu kenyataan yang disangkal keras oleh pihak agensi.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman, menolak dakwaan itu sebagai tidak berasas dan berniat menipu pengguna. Beliau menjelaskan bahawa Puspakom tidak menetapkan sebarang piawaian sendiri dalam pemeriksaan warna tingkap, sebaliknya hanya melaksanakan pemeriksaan berdasarkan spesifikasi yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Tegasnya, tidak wujud sebarang “standard Puspakom” berkaitan pewarnaan tingkap kenderaan. Oleh itu, sebarang dakwaan yang menyatakan sebaliknya merupakan satu bentuk salah tafsir yang boleh mengelirukan pengguna, di samping menjejaskan integriti agensi tersebut. Mahmood turut menzahirkan rasa kesal terhadap segelintir pihak industri yang didakwa menggunakan nama Puspakom untuk mewajarkan kegagalan dalam ujian pemeriksaan atau untuk menyokong dakwaan bahawa terdapat dua standard berbeza dalam penilaian kenderaan.

(more…)

Separuh pertama tahun 2025 telah berakhir dan Proton telah berjaya meningkatkan pegangan pasarannya dalam pasaran automotif Malaysia. Jualan kumpulan pada bulan Jun  berjumlah 11,069 unit telah menunjukkan peningkatan kecil berbanding bulan yang sama pada tahun 2024.  Sementara itu, jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) dicatat sebanyak 72,156 unit, menjadikannya yang  kedua tertinggi dalam industri. 

Pegangan pasaran Proton bagi bulan Jun dianggarkan berada pada 20.7%, peningkatan sebanyak 1.1%  berbanding bulan sebelumnya dan 1.2% lebih tinggi daripada angka YTD 19.5%. Sebaliknya, Jumlah Volum  Industri (TIV) dianggarkan pada 53,500 unit pada bulan Jun, penurunan sebanyak 21% berbanding angka TIV  68,007 unit pada bulan Mei. 

Salah satu faktor utama pencapaian jualan Proton adalah prestasi kukuh model SUV Segmen-B, Proton X50.  Dilancarkan pada Oktober 2020, lebih 140,000 unit telah terjual di Malaysia dan pasaran luar negara, sekaligus  mengukuhkan kedudukannya sebagai model terlaris dalam kelasnya selama lima tahun berturut-turut. 

Pada Jun 2025, sebanyak 1,657 unit Proton X50 telah berjaya dijual, mengekalkannya posisinya dalam kalangan  semua pesaing dalam kelas tersebut. Jumlah ini merangkumi 353 unit untuk pasaran eksport, di mana model ini  menyumbang 47% daripada jumlah volum eksport. Bagi separuh pertama tahun ini, sebanyak 11,361 unit Proton  X50 telah terjual, menandakan peningkatan sebanyak 11.3% berbanding enam bulan pertama tahun 2024. 

(more…)

DRB-HICOM Auto Solutions Sdn Bhd (DHAS), anak syarikat DRB-HICOM Berhad dan antara pemain utama dalam sektor logistik automotif Malaysia, terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri dengan langkah terbaharu — penambahan tujuh unit MAN TGS 18.360 4×2 Prime Movers ke dalam armada pengangkutan kenderaannya. Langkah strategik ini menandakan peralihan penting daripada kebergantungan kepada penyedia pengangkutan pihak ketiga serta penggunaan terhad Prime Movers Jepun yang sebelum ini dipajak.

Sejak penubuhannya pada tahun 2006, DHAS berkembang seiring dengan perubahan pesat dalam landskap automotif negara, khususnya apabila industri mula beralih kepada kenderaan elektrik (EV). Ketika ini, DHAS menyediakan perkhidmatan logistik untuk lebih 20 jenama automotif di seluruh Malaysia, sekaligus menempatkan syarikat ini sebagai rakan logistik pilihan dalam industri yang semakin mencabar dan kompetitif.

Mengulas mengenai perkembangan ini, Ketua Pegawai Eksekutif DHAS, Fawzi Ahmad menjelaskan bahawa pemilihan trak MAN TGS yang mematuhi piawaian Euro V dilakukan selepas penilaian menyeluruh terhadap pelbagai kriteria utama. Beliau menyatakan bahawa aspek seperti tahap keselamatan, spesifikasi teknikal, kecekapan operasi, harga kompetitif, sokongan selepas jualan dan pertimbangan impak alam sekitar menjadi asas dalam keputusan tersebut. Sistem telematik pintar dan mesra pengguna pada trak tersebut turut menyumbang kepada kecekapan dalam pengurusan armada, manakala reka bentuk kabin yang moden serta luas menerima maklum balas positif daripada para pemandu.

(more…)

Proton mengumumkan bahawa tempahan untuk Proton X50 Serba Baharu kini dibuka secara rasmi, menyusuli majlis penuh semangat di Setia City Mall, yang bertemakan “Proton X50 Serba Baharu: SEDIA UNTUK MENGGEGAR”.

Sejak penampilan sulungnya pada tahun 2020, Proton X50 telah mentakrifkan semula segmen SUV di Malaysia, dengan lebih 140,000 unit terjual, meletakkannya sebagai SUV segmen-B terlaris di negara ini selama lima tahun berturut-turut dan mencerminkan daya tarikannya yang kuat di kalangan pemandu Malaysia yang arif. Dibangunkan bersama rakan usaha samanya, Geely, yang menjualnya sebagai Binyue dan Coolray di pasaran lain, ia benar-benar produk global dengan lebih 1.2 juta jualan gabungan di 51 negara.

Penanda Aras Baharu dalam Reka Bentuk, Keselamatan, Prestasi dan Ketersambungan

Proton X50 Serba Baharu meningkatkan piawaian dengan reka bentuk baharu yang berani, ADAS Tahap 2 yang dinaik taraf, dan sistem infotainmen generasi akan datang 14.6 inci—kini menampilkan pengecaman suara Bahasa Melayu pertama di dunia untuk pengalaman pemanduan tempatan yang unik.

(more…)

BMW Malaysia hari ini mengumumkan harga rasmi bagi BMW 218 Gran Coupé Sport Baharu, yang baru sahaja diperkenalkan di MY BMW World 2025, dan kini boleh didapati di semua pengedar sah BMW di seluruh negara.

BMW 218 Gran Coupé Sport Baharu menandakan evolusi berani bagi model ikonik ini yang mula mencipta nama pada tahun 2020. Dalam generasi terkininya, model ini menggabungkan prestasi dinamik, reka bentuk yang ekspresif dan teknologi digital termaju dalam satu reka bentuk yang mencerminkan era baharu dalam ekspresi peribadi serta pengalaman pemanduan premium.

Reka bentuk luaran yang menyerlah menonjolkan karakter penuh keyakinan, manakala kokpit serba digital, sambungan intuitif, dan casis yang direka semula sepenuhnya menawarkan pengalaman pemanduan yang bukan sahaja mengasyikkan malah mengujakan.

BMW Group Malaysia menetapkan penanda aras baharu dalam pemilikan automotif premium, memberikan definisi baharu terhadap pengalaman pemanduan dengan penuh keyakinan dan ketenangan minda. Relax, We Care mencerminkan komitmen teguh BMW untuk membawakan Sheer Driving Pleasure tanpa gangguan – satu janji bahawa walau apa jua situasi, kami sentiasa bersama anda.

(more…)

UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengukuhkan komitmennya terhadap mobiliti mampan dengan menyertai sebagai Rakan Mobiliti Perdana bagi edisi sulung Nikkei Forum Medini Johor 2025. Acara berprestij yang berlangsung dari 18 hingga 19 Jun di Medini, Johor itu menghimpunkan lebih 500 pemimpin dalam bidang politik, perniagaan dan dasar dari seluruh Asia untuk membincangkan kerjasama rentas sempadan, inovasi teknologi dan kemampanan ekonomi serantau.

Forum ini dianjurkan secara bersama oleh Iskandar Investment Berhad (IIB) dan Nikkei Inc. dari Jepun, menandakan edisi pertama seumpamanya yang dianjurkan di selatan tanah air. Kehadiran tokoh penting seperti Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, serta Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Shikata Noriyuki menyerlahkan lagi kepentingan strategik forum ini kepada rantau ASEAN.

Toyota Mirai: Lambang Inovasi Mobiliti Hidrogen

Tumpuan utama forum ini ialah penampilan Toyota Mirai — kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen (FCEV) — yang dipamerkan di pintu masuk utama. Model ini melambangkan visi jangka panjang Toyota terhadap mobiliti tanpa pelepasan karbon, serta merangsang perbincangan tentang potensi teknologi hidrogen dalam pengangkutan rentas sempadan. Teknologi ini dilihat mampu mewujudkan koridor logistik bebas karbon serta menyokong agenda hijau di Zon Ekonomi Khas (SEZ) masa hadapan, khususnya menerusi inisiatif Johor-Singapura (JS-SEZ) yang semakin giat dilaksanakan.

(more…)

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat PROTON, hari ini memperkenalkan varian baharu Proton e.MAS 7. Berdasarkan maklum balas sebenar daripada pemilik, EV no.1 di Malaysia ini kini tampil dengan warna baharu (dalaman dan luaran), ciri pintar yang lebih baik melalui kemas kini OTA serta dasar jualan yang baharu dalam menjadikan pengalaman memiliki EV lebih mudah dan berbaloi untuk semua.

e.MAS 7 yang diperbaharui kini menyokong Apple CarPlay (berwayar dan tanpa wayar), aplikasi pihak ketiga baharu serta fungsi keselamatan pintar yang ditambah baik melalui kemas kini OTA yang lancar. Penambahbaikan ini mencerminkan komitmen berterusan PRO-NET untuk terus berkembang mengikut keperluan pengguna dan memastikan pengalaman pemanduan kekal moden, intuitif dan memuaskan.

Sejak pelancarannya, Proton e.MAS 7 telah memainkan peranan penting dalam memacu mobiliti elektrik di Malaysia. Direka dengan keperluan pemandu tempatan sebagai keutamaan, e.MAS 7 menggabungkan prestasi, ciri pintar dan pemilikan yang mudah diakses dalam satu pakej. Varian baharu ini membina atas asas tersebut, membuktikan bagaimana maklum balas dunia sebenar secara langsung membentuk evolusi produk.

(more…)

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube