Para pengunjung ke Merdeka 118 kini boleh menggunakan laluan yang lebih lancar untuk menuju ke presint ini dengan pembukaan rasmi Belfield Tunnel. Projek infrastruktur ini, yang dilaksanakan oleh PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), akan membuka satu lagi jalan masuk ke Menara Merdeka 118, menara kedua tertinggi di dunia, sekaligus dapat mengurangkan kesesakan di jalan-jalan utama di ibu kota.
Meliputi jarak lebih dari satu kilometer, Belfield Tunnel ialah terowong dua tingkat kedua Malaysia, yang direka secara eksklusif untuk kenderaan yang berulang-alik ke Merdeka 118. Jalan ini menyediakan laluan masuk dan keluar alternatif, untuk melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di pusat bandar raya.
Ketua Pegawai Eksekutif PMVSB, Dato’ Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata, “Kami dengan sukacitanya, mengumumkan pembukaan Belfield Tunnel sebagai satu titik hubungan penting yang akan memudahkan kunjungan ke Merdeka 118 dan mercu tanda di sekelilingnya, termasuk Stadium Merdeka. Matlamat kami ialah untuk menyediakan perjalanan yang lancar dan menyenangkan ke ibu kota, memudahkan kunjungan untuk semua. Dengan ruang sebanyak 8,000 tempat letak kereta, kami berharap untuk mengalu-alukan kedatangan pengunjung dari segenap lapisan masyarakat, daripada ahli perniagaan profesional kepada pembeli dan pelancong untuk menikmati kemudahan yang disediakan di Merdeka 118 apabila dibuka sepenuhnya kelak.”









