Subaru telah mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan sebuah kenderaan baharu di Pameran Mobiliti Jepun yang akan datang, mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai hala tuju jenama itu pada masa depan. Pengumuman ini dibuat semasa sesi taklimat khas di Litar Fuji Speedway, bersempena Perlumbaan 24 Jam Fuji — pusingan ketiga Siri Super Taikyu.
Menurut laporan daripada Car Watch, Pengarah Urusan Eksekutif dan Ketua Pegawai Teknikal Subaru, Tetsuro Fujinuki, mengesahkan kehadiran model baharu itu menerusi tayangan slaid yang menunjukkan imej samar — dipercayai sebagai usikan rasmi pertama terhadap kereta prestasi baharu Subaru. Walaupun ramai menjangkakan ia mungkin generasi baharu WRX, Fujinuki enggan mengesahkan sebarang maklumat lanjut.
Fujinuki, yang baru-baru ini turut mengambil alih tanggungjawab perancangan produk, menyuarakan keinginan untuk membangunkan sebuah kereta yang lebih “Subaru” dan benar-benar menarik. Namun begitu, beliau mengakui terdapat tekanan dalaman untuk terus merahsiakan butiran sehingga pelancaran rasmi. Beliau turut memberi bayangan bahawa model tersebut mungkin sudah hampir siap dan bakal diperkenalkan tidak lama selepas pengumuman rasmi dibuat.














