Kia Sales Malaysia Sdn Bhd (KSM), bersedia untuk mencipta pengalaman serba baharu kepada peminat yang mendekati jenama Kia di seluruh Malaysia. Kia bersedia menangani sebarang persoalan yang timbul dengan menjawab soalan yang mungkin bermain dalam fikiran orang ramai, ‘ Kenapa Pilih Kia?’
“Di peringkat global, Kia ialah pengeluar automotif ke-9 terbesar di dunia. Fokus kami ialah bergerak ke hadapan pada kadar yang mapan untuk jangka panjang. Matlamat kami bukan sekadar menjadi jenama terpantas berkembang, tetapi jenama yang memberi perhatian kepada pelanggan, pengedar dan industri automotif Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kia Sales Malaysia Sdn Bhd, Hyung Ho Kim.
Malaysia Memainkan Peranan Penting Dalam Pertumbuhan Rantau APAC
Berkongsi wawasan Kia bagi Malaysia, Pengarah Urusan Kia Sales Malaysia Sdn Bhd, Emily Lek, berkata, “Ini merupakan masa yang penting bagi kami memulakan langkah kembali ke pasaran Malaysia sebagai entiti tersendiri. Jenama ini tidak lagi diwakili oleh pengedar, tetapi diterajui oleh syarikat induk yang mengawal sepenuhnya suara, nilai dan wawasan kami. Dengan sistem yang kukuh dan rancangan yang jelas, kami bersedia untuk mengembalikan pengalaman jenama Kia yang sebenar.”
Malaysia menempatkan ibu pejabat Kia Asia Pacific, yang berperanan sebagai pusat pemikiran strategik bagi rantau Asia. Kia APAC memantau enam anak syarikat yang termasuk Kia Sales Malaysia (KSM) dan unit pengeluarannya, Kia Malaysia.
Kia APAC menguruskan operasi di 33 pasaran termasuk negara-negara ASEAN, Australia dan New Zealand. Di rantau APAC, Kia menguasai 3.4% bahagian pasaran, hasil jualan lebih 165,000 unit pada 2024. Disokong oleh lebih 100 orang kakitangan, ibu pejabat Kia APAC telah mewujudkan peluang pekerjaan sambil memanfaatkan bakat tempatan.








