TNG Digital Sdn Bhd, syarikat di sebalik platform kewangan digital terkemuka Malaysia, TNG eWallet, kini memperkenalkan ciri baharu EV Charging yang membolehkan pemilik kenderaan elektrik mencari, mengaktifkan dan membayar caj di pelbagai rangkaian pengecas di Malaysia dan Singapura — semuanya melalui satu aplikasi sahaja.
Ciri baharu ini dikuasakan oleh Voltality, anak syarikat milik penuh Beep, yang berperanan menghubungkan pengguna kepada pelbagai pengendali titik pengecas (CPO) tanpa perlu memuat turun aplikasi berasingan. Pembayaran dilakukan terus melalui TNG eWallet, dengan potongan automatik serta pemulangan segera untuk baki yang tidak digunakan, memastikan pengalaman pengecasan yang lancar, mudah dan telus dari awal hingga akhir.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni, fungsi ini dibangunkan untuk memudahkan pengalaman pemilikan EV, dengan menghapuskan keperluan menggunakan pelbagai aplikasi dan akaun. Matlamatnya adalah untuk menyatukan keseluruhan proses pengecasan dalam satu platform yang mudah diakses oleh semua pengguna.
Pelancaran awal ciri ini melibatkan beberapa rakan operator utama seperti KINETA, EVlution, Zura Charge, CHARGE+, RExharge, Powered by RISE, dan JusEV Charging Network, selain rakan dari Singapura seperti SP Mobility, CDG ENGIE, EV Mobility, dan MNL Asia. Lebih banyak rakan operator akan ditambah dari semasa ke semasa bagi meluaskan liputan dan kemudahan kepada pengguna di seluruh rantau ini.





