Oktober menjadi bulan yang istimewa buat Proton. Di sebalik jadual yang dipenuhi dengan pelbagai acara dan pelancaran besar, termasuk pengenalan model kenderaan elektrik (EV) mampu milik pertama negara, syarikat menutup bulan ini dengan satu lagi kejayaan apabila mencatat jualan tertinggi bagi tahun 2025.
Momentum positif yang terbina sepanjang bulan tersebut menyaksikan sebanyak 15,575 unit kenderaan terjual di pasaran tempatan dan antarabangsa. Angka ini menandakan peningkatan 16.3 peratus berbanding bulan sebelumnya dan menjadikan jumlah keseluruhan jualan tahun setakat ini sebanyak 129,872 unit, iaitu 3 peratus lebih tinggi daripada tempoh sama tahun lalu.
Pencapaian Proton seiring dengan kebangkitan semula industri automotif negara. Jumlah Keseluruhan Industri bagi Oktober dianggarkan melonjak 32.3 peratus kepada 77,377 unit, paras tertinggi bagi tahun ini. Dengan hanya dua bulan lagi sebelum 2025 melabuhkan tirainya, pasaran automotif Malaysia kekal di landasan kukuh untuk melepasi angka 800,000 unit dan mengekalkan kedudukan sebagai peneraju utama di rantau ASEAN.








