Land Rover sekali lagi memperkukuh reputasinya sebagai jenama ikonik dalam dunia pengembaraan apabila secara rasmi melancarkan Defender Trophy Edition 2026, varian khas bagi model Defender 110 yang direka untuk ekspedisi ekstrem dan cabaran luar jalan. Model ini bukan sekadar mengimbas kembali warisan Land Rover, malah mencerminkan komitmen jenama British itu terhadap eksplorasi yang bertanggungjawab dan mampan.
Defender Trophy Edition 2026 ditawarkan dalam dua warna ikonik — Deep Sandglow Yellow dan Keswick Green — yang membangkitkan semula nostalgia ekspedisi Land Rover zaman dahulu. Estetika luarannya diperkemaskan dengan pelekat trofi pada bonet dan tiang-C, lencana belakang eksklusif, serta treadplate ‘Trophy’ yang diterangi di bahagian ambang pintu. Kesemua ini mencipta penampilan yang teguh, bersedia untuk apa jua cabaran.
Di sebalik reka bentuknya yang lasak, Defender edisi ini dikuasakan oleh enjin diesel 3.0 liter turbo sebaris enam silinder yang menghasilkan 346hp, serta digandingkan dengan teknologi hibrid sederhana (mild hybrid) untuk kecekapan penggunaan bahan api dan tork tambahan. Ia dilengkapi rim aloi hitam berkilat bersaiz 20 inci bersama tayar semua rupa bumi, memberikan keyakinan penuh merentasi laluan lasak dan mencabar.





