Proton telah menamat tahun 2024 dengan jualan sebanyak 152,352 unit (domestik dan eksport) sekali lagi menduduki tempat kedua dalam carta jualan. Tahun berakhir dengan catatan yang tinggi selepas 14,601 unit dijual pada bulan Disember, peningkatan sebanyak 19.7% berbanding bulan sebelumnya. Ini adalah angka jualan kedua tertinggi untuk tahun ini, susulan bulan yang memberangsangkan untuk eksport dengan 1,113 unit dihantar ke pasaran luar negara.
Prestasi cemerlang ini dicapai selepas dua belas bulan persaingan sengit untuk jenama automotif nasional daripada pengeluar kenderaan asal (OEM) baru dan model-model yang menyasarkan kumpulan pelanggan yang sama, serta semasa tahun di mana Proton telah beralih ke ruang kenderaan elektrik (EV) dengan pelancaran model pertamanya, Proton e.MAS 7. Selain daripada jualan kenderaan jenama Proton, Proton juga merupakan pengimport dan pengedar untuk model smart Automobile melalui anak syarikatnya PRO-NET dan untuk tahun 2024, sebanyak 622 unit smart #1 dan #3 telah dijual, menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan yang dijual sebanyak 152,974 unit.
Jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk 2024 dianggarkan mencapai 813,521 unit, menandakan tahun kedua berturut-turut rekod jualan automotif untuk Malaysia, dan bahagian pasaran Proton untuk tahun ini dianggarkan pada 18.7%. Ini adalah tahun keenam berturut-turut syarikat mencapai kedudukan kedua dalam carta, memberikannya asas kukuh untuk menghadapi persaingan pada tahun 2025.