Nissan mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran SUV China melalui kerjasama terbaharu dengan Dongfeng Motor Group. Kedua-dua syarikat ini bakal menubuhkan sebuah entiti baharu dengan pelaburan sekitar RM676 juta, khusus untuk membangunkan serta menjual SUV off-road.
Berdasarkan butiran yang didedahkan, Dongfeng Motor akan memegang pegangan terbesar sebanyak 40%, manakala Dongfeng Nissan – usaha sama sedia ada antara kedua-dua syarikat dengan perkongsian 50:50 – akan memiliki kira-kira 10%.
Dua lagi syarikat berpangkalan di Xiangyang, wilayah Hubei turut menyertai projek ini. Perjanjian kerjasama ini ditetapkan untuk tempoh 20 tahun, namun nama rasmi syarikat baharu serta tarikh pelancaran model pertama masih belum diumumkan.
Sumbangan Dongfeng Nissan dijangka lebih tertumpu kepada aset berbanding tunai. Ini termasuk acuan, barisan pengeluaran, peralatan industri, sistem pembangunan serta sumber tidak ketara lain. Malah, terdapat kemungkinan Dongfeng Nissan akan terlibat secara langsung dalam pengeluaran kenderaan sebaik sahaja operasi dimulakan.






