Volkswagen telah memperkenalkan model konsep elektrik terbaharunya, ID. CROSS Concept, sebuah SUV kompak yang memberi bayangan jelas terhadap model produksi sebenar yang dijadualkan muncul pada musim panas 2026.
Model baharu ini akan mengembangkan lagi keluarga EV Volkswagen dalam segmen kecil dan mampu milik, menyusuli model konsep ID.2 all, ID. GTI dan ID. EVERY1.
Dari segi saiz, ID. CROSS hampir menyamai dimensi Volkswagen T-Cross sedia ada, dengan panjang 4,161 mm dan lebar 1,839 mm. Walaupun kompak, ia direka untuk menawarkan ruang dalaman yang luas. Ruang but sahaja menyediakan 450 liter, ditambah dengan ruang simpanan tambahan 25 liter di bawah bonet. Gabungan ini menjadikan ID. CROSS sesuai bukan sahaja untuk pemanduan bandar, tetapi juga sebagai kenderaan praktikal untuk keluarga.
Dari luar, model konsep ini tampil menonjol dengan warna hijau terang Urban Jungle, dipadankan dengan rim aloi 21 inci Balboa yang dibalut tayar khas Goodyear. Ia menampilkan falsafah reka bentuk baharu Volkswagen, iaitu “Pure Positive”, yang menekankan gaya ceria dan mesra. Lampu hadapan serta belakang menonjol dengan rekaan seolah-olah “senyuman”, diinspirasikan daripada ikon klasik Volkswagen seperti Golf dan VW Bus lagenda.








