Lotus Cars Malaysia telah mengemas kini rangkaian model elektrik sepenuhnya, Eletre, sekali gus memberikan penawaran yang lebih jelas serta pilihan prestasi yang lebih luas. Harga permulaan kini ditetapkan pada RM499,000, menandakan fasa baharu buat Lotus dalam meneroka pasaran kenderaan elektrik (EV) premium.
Selaras dengan strategi penamaan global terbaharu, model-model tersebut kini dikenali sebagai Eletre 600 dan Eletre 900, merujuk terus kepada kuasa yang ditawarkan. Pendekatan ini memudahkan pelanggan memahami tahap prestasi setiap varian, sama seperti kaedah penamaan pada model baharu Lotus Emeya.
Pelanggan turut boleh memilih pakej yang menekankan aspek pemanduan sporty atau lebih berorientasikan keselesaan dan kemewahan, mengikut cita rasa masing-masing. Dengan cara ini, proses pemilihan menjadi lebih ringkas tetapi masih mengekalkan tahap penyesuaian yang tinggi.



