Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat Proton, mengumumkan bahawa Proton e.MAS 7 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai Model EV Nombor 1 di Malaysia selama tujuh bulan berturut-turut, dengan mencatatkan jualan dan tempahan kukuh sepanjang tahun pelancarannya.
Sehingga 31 Julai 2025, sebanyak 4,959 unit Proton e.MAS 7 telah diserahkan, merangkumi 4,689 unit di Malaysia dan 270 unit dieksport ke pasaran antarabangsa. Bulan Julai turut mencatatkan pencapaian baharu dengan 1,365 tempahan, iaitu angka bulanan tertinggi sejak pelancaran model ini, sekali gus mengukuhkan lagi populariti berterusan e.MAS 7 dalam kalangan pembeli EV.
“Sejak hari pertama, matlamat kami adalah untuk menawarkan kepada rakyat Malaysia sebuah EV yang memberikan keselesaan luar biasa, prestasi seimbang dan ciri-ciri canggih pada harga yang berpatutan,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET. “Permintaan berterusan yang kami lihat hari ini adalah hasil daripada komitmen tersebut. Kami amat berterima kasih kepada para pelanggan kerana menaruh kepercayaan kepada Proton dan jenama e.MAS, serta menjadikan e.MAS 7 sebagai pilihan nombor satu mereka.”




