Jenama mewah milik Geely, Zeekr, baru sahaja melancarkan model terbaharunya yang paling besar dan berkuasa setakat ini, iaitu Zeekr 9X. SUV plug-in hibrid bersaiz penuh ini diperkenalkan secara rasmi di China pada 29 September, dan sambutannya sangat luar biasa apabila menerima lebih 42,000 tempahan dalam masa satu jam sahaja selepas pra-jualan dibuka.
Menariknya, Zeekr 9X merupakan model plug-in hibrid pertama keluaran syarikat itu, menandakan langkah baharu mereka yang kini melangkaui kereta elektrik sepenuhnya. Dari segi saiz, SUV ini lebih besar berbanding Mercedes-Benz GLS dengan ukuran 5.2 meter panjang dan lebih 2 meter lebar. Reka bentuk luaran tampil garang dengan lampu utama LED berbentuk C, gril besar, rim bersaiz 22 inci, serta lampu belakang unik berbentuk bulat.
Bahagian dalamannya direka sebagai enam tempat duduk dengan konfigurasi 2+2+2. Ia dilengkapi dengan dua skrin 16 inci, paparan kepala 47 inci untuk pemandu, serta skrin 17 inci khusus bagi penumpang baris kedua. Varian tertentu turut menawarkan kemewahan tambahan seperti kerusi urut, kerusi baris kedua berputar, meja lipat, tirai privasi, dan pembantu maya berasaskan AI yang dinamakan Eva.




















































