WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA), pengedar rasmi kenderaan GAC di Malaysia, telah melancarkan GAC M8 PHEV, sebuah MPV mewah berteknologi plug-in hybrid (PHEV) yang menggabungkan keselesaan premium dengan prestasi moden.
Model ini ditawarkan dalam dua varian — Premium pada harga RM328,800 dan Luxury pada RM388,800, kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans untuk pasaran Semenanjung Malaysia. Sebagai tawaran pelancaran, pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Disember 2025 akan menikmati penyelenggaraan percuma selama dua tahun dan pengecas mudah alih bernilai RM3,800.
Dikuasakan oleh enjin turbo 2.0 liter yang digabungkan dengan sistem hibrid pintar, M8 PHEV menghasilkan 372 PS dan 630 Nm tork. Ia turut dilengkapi dengan bateri 25.57 kWh serta tangki bahan api 56 liter, memberikan jarak pemanduan gabungan sehingga 1,038 kilometer. Pemandu boleh memilih antara tiga mod pemanduan — Hybrid, Electric First dan Power Save — mengikut keperluan dan situasi pemanduan.
Untuk pengalaman pemanduan yang lebih selesa dan stabil, MPV ini dipasang dengan Adaptive Vehicle Dynamics Control serta Electromagnetic Damping Suspension, yang membantu mengekalkan keselesaan walaupun di permukaan jalan tidak rata.



