Dalam era di mana kenderaan elektrik (EV) semakin mendapat tempat di seluruh dunia, satu kesan sampingan yang tidak dijangka mula menjadi perhatian – mabuk perjalanan. Ketika jualan EV global mencecah 22% daripada keseluruhan jualan kereta baharu pada tahun 2024, peningkatan penggunaan ini turut menyaksikan lebih ramai penumpang melaporkan gejala pening dan loya, terutamanya apabila duduk di tempat duduk belakang.
Menurut laporan The Guardian, semakin banyak aduan muncul dalam media sosial dan forum dalam talian berkaitan perasaan tidak selesa yang dialami dalam EV. Para saintis kini giat menyelidik fenomena ini dan mendapati bahawa ada penjelasan saintifik di sebaliknya.
Mengapa EV Membuatkan Penumpang Berasa Sakit?
William Emond, seorang penyelidik dari Perancis yang mengkaji mabuk perjalanan, menjelaskan bahawa punca utama adalah ketidakseimbangan antara isyarat deria yang diterima oleh otak. Dalam kenderaan berkuasa petrol atau diesel, penumpang secara semula jadi menerima maklumat daripada bunyi enjin, getaran, dan pergerakan mendadak semasa mempercepat atau membrek. Isyarat-isyarat ini membantu otak menjangka apa yang akan berlaku.








