Volkswagen terus mengukuhkan legasi penyediaan mobiliti mampu milik dengan memperkenalkan model konsep terbaharu, ID. EVERY1, sebuah kenderaan elektrik (EV) kompak yang direka sebagai pintu masuk baharu jenama itu ke dunia elektrifikasi. Meneruskan warisan model ikonik seperti Volkswagen Beetle dan Volkswagen Up, ID. EVERY1 hadir untuk membawa pemanduan mampan kepada pengguna umum, sejajar dengan peralihan global ke arah kenderaan elektrik.
Disasarkan khusus untuk pasaran Eropah, model ini dibangunkan sebagai sebahagian daripada rangkaian “Keluarga Kereta Bandar” Volkswagen dan dijangka memulakan produksi pada tahun 2027. Pelancaran ID. EVERY1 juga merupakan antara usaha Volkswagen dalam menyediakan barisan model yang pelbagai merangkumi pilihan enjin pembakaran dalaman cekap, hibrid moden dan kenderaan elektrik sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen Passenger Cars, Thomas Schäfer, menjelaskan bahawa pengenalan ID. EVERY1 melengkapkan usaha jenama itu dalam menawarkan pilihan mobiliti mampu milik kepada semua lapisan pengguna. Menurut beliau, Volkswagen komited untuk memastikan setiap pelanggan dapat memiliki kenderaan dengan sistem pemanduan yang memenuhi keperluan mereka, termasuk model elektrik pada harga berpatutan. Schäfer turut menegaskan sasaran Volkswagen untuk mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju teknologi automotif global menjelang 2030, tanpa meninggalkan identiti sebagai jenama untuk rakyat.











