Terkenal kerana kecekapannya, Isuzu D-Max telah membuktikan kemampuan penjimatan bahan apinya sekali lagi apabila semua tiga unit model terkininya berjaya mencatatkan perjalanan jarak 2,000 km dengan satu tangki bahan api yang hanya berkapasiti 76 liter!
Ini menambah lagi pencapaian yang pernah diraih oleh trak pikap dengan pelbagai kemampuan tersebut, yang sebelum ini pernah menamatkan perjalanan dari Bangkok ke Singapura dengan menempuh jarak sejauh 1,809 km hanya dengan satu tangki diesel.
Selain itu, syarikat juga telah berjaya menguji dengan memandu model 1.9 liter Single Cab dengan beban satu tan dan mencapai jarak lebih 1,000 km dengan hanya satu tangki penuh bahan api, walaupun terpaksa menempuh tiga kawasan pergunungan yang masing-masing mempunyai ketinggian 1,000 meter dari paras laut.
Dalam pencapaian yang terbaharu, Dura Miles Challenge anjuran Isuzu Malaysia menguji pula kemampuan tiga unit berbeza Isuzu D-Max — 1.9 liter 4×2 Auto Plus yang paling cekap, 1.9 liter 4×4 Auto Premium yang paling laris dan 3.0 liter 4×4 X-Terrain yang paling canggih — dengan memandunya dari bandar Phitsanulok di Thailand yang berada kira-kira 300 km di utara Bangkok, menuju Klang, Selangor.
Ini merupakan kali pertama syarikat melakukan ujian sedemikian terhadap Isuzu D-Max generasi ketiga yang terbaharu ini. Tidak hanya menampilkan gaya dengan rekaan luaran aerodinamik, Isuzu D-Max 2024 juga menampilkan enjin Euro 4 yang dipertingkat, yang memberikan janaan kuasa dan kecekapan bahan api sekali gus.
Ujian ini turut disaksikan oleh pegawai teknikal daripada Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) yang melekatkan pelekat keselamatan tangki minyak dan sekali gus menjadi pemerhati bagi memastikan tiada isian semula dilakukan sepanjang perjalanan.
Hal ini juga turut menyenaraikan Isuzu D-Max ke dalam Malaysian Book of Records bagi “Trak Pikap Yang Paling Jauh Dipandu Dengan Satu Tangki Bahan Api”.
Bercakap ketika menyambut ketibaan semua kenderaan terbabit di Pusat 3S Ultra Gallant Isuzu di Klang, Selangor selepas menyelesaikan perjalanan 2,000 km tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata yang kejayaan itu membuktikan kecemerlangan kejuruteraan Isuzu dalam membangunkan enjin diesel Blue Power yang memberikan prestasi di luar jangkaan kebiasaan penggunaannya.
“Walaupun kami tidak menjangkakan setiap pelanggan akan memandu kenderaan Isuzu mereka sejauh 2,000 km bagi setiap isian bahan api, ia jelas menunjukkan tahap kejuruteraan yang telah diberikan terhadap setiap kendearan Isuzu untuk membolehkannya mencapai keupayaan dalam skala tersebut,” ujar Okazoe.
Ketika majlis berkenaan, Okazoe yang turut disertai oleh Ketua Pegawai Operasi, Bahagian Kenderaan Perdagangan Ringan, Kenkichi Sogo turut diserahkan sijil penyempurnaan cabaran daripada Ketua Setiausaha MAM, S. N. Nanthan dan Pemerhati Muhammad Siraj dan sijil pencapaian daripada wakil Malaysian Book of Records, Edwin Yeoh dan Mohd Nazrul. Sogo memaklumkan, pencapaian ini juga mewaili kemenangan bagi semua pemilik Isuzu D-Max sedia ada.
“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, termasuklah harga diesel, mereka yang menggunakan Isuzu D-Max untuk urusan harian akan mendapat manfaat daripada ciri penjimatan bahan api ini. Kemampuan dan kepelbagaian penggunaan kenderaan ini yang turut disertai dengan kecekapannya akan terus menjadi kriteria pilihan utama bagi mereka yang inginkan sebuah trak pikap, tidak kira untuk tujuan dan keperluan apa sekalipun.
“Sama menakjubkan adalah trak pikap ini mampu melakukan semuanya dengan baik. Sama ada untuk menakluki laluan hutan di Sabah ketika Borneo Safari, membawa keluarga dan orang tersayang tiba dengan selamat atau menghantar bekalan keperluan dengan pantas ke destinasinya, Isuzu D-Max mempamerkan kemampuan untuk mengatasi segalanya dengan tenang dan yakin,” ujar Sogo.