Tidah boleh dinafikan yang Honda Prelude adalah kereta impian zaman kanak-kanak untuk ramai di antara kita semua. Ia menawan imaginasi kita, menghiasi dinding kita dalam bentuk poster, dan tiba-tiba ia menghilang ke dalam buku sejarah.
Oleh itu, apabila Honda mengumumkan bahawa mereka akan menghidupkan semula ikon itu kembali pada tahun 2023, terdapat sorakan kolektif di setiap sudut dunia.
Tetapi Prelude yang asal adalah kereta sport sejati, Prelude yang baharu, ia adalah sesuatu yang amat berbeza.
Ia berkongsi platformnya dengan Honda Civic generasi ke-11, dan walaupun ia mempunyai komponen suspensi, chassis dan beberapa bahagian daripada Type R, ia dikuasakan oleh enjin 2.0 liter yang sama dengan Honda Civic e:HEV (hibrid).
Dan saya pasti kita semua boleh bersetuju bahawa 200hp dan 315Nm tork tidak lagi layak dipanggil kereta sport.
Jadi, persoalan besar di fikiran setiap peminat Honda tidak dapat dinafikan — adakah akan ada Honda Prelude Type R?
Saya baru-baru ini berada di Pameran Mobiliti Jepun 2025 sebagai tetamu Honda Malaysia. Syarikat itu dengan murah hati mengatur temu bual ringkas dengan Ketua Projek Besar Honda Prelude, Tomoyuki Yamagami.
Beliau adalah seorang yang boleh menjawab soalan itu kerana beliau pada dasarnya adalah salah seorang daripada beberapa orang yang bekerja pada Prelude generasi keenam yang baharu dari awal nya.
Jadi, saya tidak dapat menahan diri untuk bertanya – “adakah akan ada Honda Prelude Type R”?
Jawapannya? Tiada komen.
Bukan ya, bukan tidak, bahkan bukan mungkin. Jawapan terus terang tiada komen. Dan kini, saya tidak dapat menahan diri daripada membuat spekulasi.
Selalu nya dengan syarikat kereta, kalau mereka tidak ada rancangan untuk membina model yang baru, mereka akan terus menafikan bila ditanya. Tetapi, disebabkan Yamagami-san berkata “tiada komen”, ini mungkin bermakna yang mungkin ada rancangan.
Terdapat beberapa laporan mengenai Civic Type R generasi seterusnya akan dikuasakan oleh rangkaian kuasa hibrid dan transmisi automatik dan bukannya manual. Kedua-dua faktor itu sudah pun dimiliki oleh Prelude.
Malah, dan menurut Yamagami-san sendiri, Prelude sudah berkongsi komponen suspensi dengan Type R dan mempunyai rak stereng yang lebih pantas dari Type R.
Jadi, ia mungkin tidak sepantas Type R dalam bentuknya sekarang, tetapi asas-asasnya sudah ada.
Yang menimbulkan persoalan, adakah kita akan melihat Honda Prelude Type R?
Spekulatif pada masa ini, tetapi ada kemungkinan besar yang Prelude Type R akan datang.
Honda Prelude disahkan untuk pasaran utama di seluruh dunia dan berdasarkan fakta bahawa Honda Malaysia telah menawarkan setiap model berprestasi tinggi sejak penubuhannya (merujuk kepada Civic Type R FD2R), saya yakin Honda Prelude juga akan ditawarkan di Malaysia.
Cuma, jangan harapkan harganya murah.















































