Nissan Motor Co., Ltd. mengumumkan barisan model baharu dan dinaik taraf yang akan diperkenalkan sepanjang tahun fiskal 2025 dan 2026, selari dengan pengenalan teknologi generasi baharu. Inisiatif ini bertujuan untuk mengukuhkan prestasi syarikat, meningkatkan kesetiaan pelanggan, menarik pembeli baharu serta menggalakkan pertumbuhan yang mampan dalam industri automotif.
Nissan merancang untuk memenuhi permintaan pengguna dengan menawarkan rangkaian kuasa yang lebih pelbagai, termasuk teknologi hibrid e-POWER dan hibrid plug-in (PHEV), selain model kenderaan elektrik (EV) generasi akan datang serta enjin pembakaran dalaman (ICE) yang lebih cekap. Pengenalan ini dijangka menetapkan penanda aras baharu dalam industri automotif global.
NISSAN LEAF GENERASI KETIGA
Antara sorotan utama adalah model Nissan LEAF serba baharu yang kini direka semula sepenuhnya sebagai crossover dengan reka bentuk aerodinamik yang lebih baik serta kecekapan pemanduan yang dipertingkatkan. Model ini juga dilengkapi dengan roda aloi 19-inci dan bumbung panoramik buat pertama kalinya.
Untuk pasaran Amerika Utara, Nissan LEAF akan menyokong Standard Pengecasan Amerika Utara (NACS), membolehkan akses kepada rangkaian Tesla Supercharger. Model ini dibangunkan menggunakan platform modular CMF-EV, sama seperti Nissan Ariya, serta dilengkapi dengan rangkaian kuasa EV 3-dalam-1 baharu yang meningkatkan kecekapan tenaga dan jarak pemanduan. Maklumat lanjut mengenai model ini akan diumumkan dalam masa terdekat.