Volvo Cars kini melangkah ke satu fasa baharu dalam perjalanan kemampanannya menerusi pelancaran rasmi Volvo ES90, model elektrik sepenuhnya yang menjadi flagship terbaharu syarikat itu. Dijadualkan untuk memulakan produksi tahun ini, ES90 bukan sahaja menzahirkan komitmen Volvo terhadap elektrifikasi, malah membuktikan kesungguhan syarikat Sweden itu untuk mengurangkan kesan alam sekitar dalam setiap aspek pembinaan dan penggunaan kenderaannya.
Menurut laporan Penilaian Kitaran Hayat (LCA) terbaharu Volvo yang disahkan pihak ketiga, jejak karbon ES90 hanya mencecah 31 tan CO₂ apabila dicas menggunakan campuran tenaga standard Eropah. Angka ini dapat dikurangkan lagi kepada 26 tan sekiranya tenaga elektrik yang digunakan sepenuhnya datang daripada sumber tenaga angin. Laporan LCA ini merangkumi keseluruhan kitaran hidup kenderaan – bermula daripada pengekstrakan bahan mentah sehinggalah ke pelupusan akhir hayat kenderaan – menjadikan ES90 antara model paling bertanggungjawab dari segi iklim yang pernah dihasilkan oleh Volvo.
Jika dibandingkan dengan model-model lain dalam barisan Volvo, ES90 menunjukkan pengurangan pelepasan karbon sekitar 50% berbanding S90 hibrid ringan dan 30% lebih rendah daripada S90 plug-in hibrid. Malah, ES90 turut mencatat jejak karbon yang lebih kecil berbanding model EV lain seperti EX40 dan EC40, menjadikannya antara kenderaan paling bersih dalam sejarah syarikat itu.











