Dalam tahun 2024, Proton S70 telah berjaya mendominasi pasaran automotif Malaysia pada segmen C. Sedan segmen C yang pertama keluaran Proton selepas lebih 10 tahun ini telah berjaya menjadi peneraju pasaran dalam tahun pertama penjualan penuhnya. Segmen ini telah lama didominasi oleh jenama-jenama kereta dari Jepun selama berdekad-dekad. Namun, S70 yang dilancarkan pada November 2023, telah mula memenangi hati rakyat Malaysia dengan gabungan menarik antara ciri-ciri canggih dan tawaran nilai yang berpatutan.
Meskipun jualan kereta secara keseluruhannya perlahan pada Januari 2025, berikutan peningkatan ketara di penghujung tahun yang berjaya menaikkan jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada rekod tertinggi 816,747 unit, Proton S70 terus mengekalkan momentum lebih 1,000 unit sejak awal 2024, dengan 1,143 unit terjual pada Januari dan 1,197 unit pada Februari. Dengan 18,880 unit terjual pada tahun lalu, pemimpin segmen-C ini mendahului pesaing sedan terdekatnya sebanyak 8,470 unit. Jualan tertinggi dicatatkan pada Februari 2024, iaitu 2,290 unit.
Model ini semakin diminati kerana menawarkan pengalaman segmen-C pada harga segmen-B. Proton S70 membezakan dirinya dengan enjin turbo 1.5L (150PS, 226Nm) dan transmisi klac dwi 7-kelajuan, memberikan keseimbangan sempurna kuasa, kecekapan, dan keseronokan pemanduan. Ruang dalaman yang luas, ciri keselamatan ADAS yang canggih, dan kos pemilikan yang rendah berbanding pesaing Jepun, berjaya menarik perhatian pembeli. Ciri-ciri unik ini, ditambah dengan keseimbangan pengendalian yang terkenal dari Proton, telah menjadikan Proton S70 dipilih sebagai kereta yang menandakan kembalinya syarikat tersebut ke perlumbaan Sepang 1000KM pada tahun 2024.