Operasi Persatuan Pembekal Perodua (P2SA) dan Persatuan Pengedar Perodua (PDA) kini berada di kedudukan yang lebih kukuh berikutan prestasi bersejarah yang dicatatkan Perodua pada tahun 2024.
“Berdasarkan jangkaan kami, Perodua telah membuat pembelian komponen automotif dengan nilai berpuluh billion Ringgit Malaysia daripada ahli kami sejak beberapa tahun lalu, menjadikannya pembelian tertinggi dalam sejarah,” kata Presiden P2SA, Musa Zahidin Tan Sri Ahmad Zaidee.
“Pembelian ini memainkan peranan penting dalam membolehkan ahli P2SA untuk membuat pelaburan semula dan mengembangkan operasi, menambah baik skala ekonomi dan meningkatkan kelebihan daya saing kami – terutamanya apabila kos meningkat disebabkan oleh faktor luaran,” katanya.
Berhubung pencapaian pengeluaran Perodua sebanyak 368,100 unit pada tahun 2024, Musa berkata kemampuan P2SA menyokong pencapaian berkenaan adalah disebabkan pendekatan komunikasi secara terbuka yang diamalkan oleh Pengilang Peralatan Asal (OEM) itu dengan P2SA.
“Sokongan yang diberikan kepada setiap ahli P2SA membolehkan kami mengendalikan jumlah tempahan yang tinggi. Selain itu, ianya juga dapat memastikan pembayaran berjalan lancar, arah tuju yang jelas serta perbincangan terbuka bagi sebarang perubahan yang membolehkan kami mencatatkan prestasi di luar jangkaan kami,” kata Musa.