Honda Malaysia telah mengumumkan pembukaan tempahan rasmi bagi model serba baharu Honda HR-V, menjelang pelancarannya yang dijadualkan pada suku ketiga tahun 2025. Tempahan kini boleh dibuat di semua pengedar sah Honda di seluruh negara serta melalui saluran dalam talian, termasuk laman web rasmi dan aplikasi mudah alih HondaTouch.
Kehadiran semula HR-V dalam versi terkini ini dijangka terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam segmen SUV kompak. Sejak diperkenalkan di pasaran tempatan pada tahun 2015, lebih 169,000 unit telah terjual, menjadikannya model bukan nasional terlaris dalam segmennya. Malah, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, HR-V kekal sebagai penyumbang utama kepada jualan keseluruhan Honda Malaysia.
Berpandukan reputasi yang dibina atas gabungan gaya, praktikaliti dan prestasi, HR-V Baharu tampil dengan penambahbaikan ketara pada aspek reka bentuk dan kejuruteraan. Rupa luaran yang lebih tajam dan moden dapat dilihat menerusi gril hadapan baharu yang minimalis, lampu belakang LED sepenuhnya dalam satu jalur yang bergaya, serta rim aloi dwitona 18 inci yang menyerlahkan penampilan dinamiknya.






