Nissan telah melancarkan Z 2026 sempena acara tahunan ZCON ke-38, memperkenalkan Edisi Heritage yang memberi penghormatan kepada model ikonik generasi keempat Z32 dari era 1990-an khusus untuk pasaran Amerika Syarikat.
Edisi khas ini hanya ditawarkan pada varian Z Performance dengan harga tambahan USD2,940 (sekitar RM12,411), menjadikan harga keseluruhan sekitar USD55,910 (lebih kurang RM236,023). Ia tampil dengan rim gangsa RAYS bersaiz 19 inci, spoiler belakang gentian karbon bersama lencana retro “Twin Turbo”, grafik badan berwarna gangsa, plat pintu unik, alas kaki eksklusif, serta warna badan nostalgia Midnight Purple yang cukup sinonim dengan warisan Z.
Barisan penuh Nissan Z 2026 terdiri daripada tiga varian iaitu Sport, Performance dan NISMO, dengan harga bermula dari USD42,970 (lebih kurang RM181,419). Bagi varian Sport dan Performance, pelanggan turut mendapat pilihan warna baharu Boulder Grey dengan bumbung hitam kontras.






