Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat milik penuh Proton, hari ini mengumumkan bahawa tempahan bagi Proton e.MAS 5 serba baharu, kereta elektrik paling mampu milik di Malaysia kini dibuka secara rasmi susulan siaran langsung pada 4 Oktober 2025.
Siaran langsung tersebut mempamerkan kereta elektrik paling mampu milik di Malaysia melalui segmen interaktif, demonstrasi produk secara langsung serta perkongsian pandangan daripada pakar automotif dan pempengaruh. Ia berjaya menarik perhatian penonton tempatan dan memupuk minat terhadap tempahan kenderaan elektrik kompak terbaharu dari PRO-NET ini.

Bermula dari jam 8.00 malam sehingga 10.30 malam, siaran langsung ini dikendalikan oleh Boss James dan Norreen Iman, serta menampilkan sesi soal jawab bersama wakil PRO-NET termasuk Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, dan Puan Salawati binti Mohd Yusoff, Ketua Pegawai Penjenamaaan PRO-NET.
572,725 di seluruh Malaysia mengikuti siaran langsung ini melalui saluran rasmi media sosial Proton e.MAS serta platform sosial pempengaruh gaya hidup, pakar teknologi dan automotif. Ia membuka ruang kepada penglibatan lebih meluas dan interaksi secara langsung dengan orang ramai.
Anggaran Harga Kereta Elektrik Paling Mampu Milik di Malaysia telah Didedahkan
Detik yang paling dinantikan akhirnya tiba apabila anggaran harga Proton e.MAS 5 diumumkan pada RM60,000 – RM80,000, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai kereta elektrik paling mampu milik di Malaysia. Proton e.MAS 5 bukan sekadar sebuah kereta elektrik, tetapi direka untuk melengkapi gaya hidup rakyat Malaysia pada masa kini dengan padanan gaya, praktikaliti dan kelestarian.
Orang ramai kini boleh membuat tempahan Proton e.MAS 5 dengan hanya RM99 dan berpeluang menerima Kad Proton e.MAS Touch ‘n Go NFC edisi terhad yang diisi dengan RM100, di samping rebat tambahan sebanyak RM500 untuk bayaran tempahan.

(more…)