Proton baru sahaja melancarkan secara rasmi e.MAS 7 di Mauritius.
Ini satu langkah besar, kerana Mauritius menjadi negara antarabangsa keempat yang menerima kereta elektrik (EV) pertama Proton.
Ia dilancarkan di Malaysia baru kira-kira sepuluh bulan lalu, dan baru-baru ini membantu Proton kembali ke pasaran Singapura. Ternyata e.MAS 7 memang laku keras. Ia kini adalah model eksport Proton yang ketiga paling popular, selepas Saga dan X50.

Melancarkan e.MAS 7 di negara baharu menunjukkan Proton serius untuk berkembang di peringkat antarabangsa dan memimpin dalam segmen Kenderaan Tenaga Baharu (NEV). Proton sudah menjadi pemain EV utama di rantau ini, dan permintaan membuktikannya! Proton telah hantar lebih 6,500 unit di dalam dan luar negara sejak kereta ini mula-mula keluar.
Rancangan pengembangan ini disokong oleh pelaburan bijak Proton dalam elektrifikasi. Mereka telah bina kilang EV baharu di Malaysia yang boleh menghasilkan sehingga 45,000 EV setahun. Kilang ini penting untuk matlamat Proton mencapai 250,000 unit eksport dalam beberapa tahun akan datang dan membantu dunia ke arah pemanduan yang lebih lestari.
Proton telah bekerjasama dengan rakan kongsi mereka yang dipercayai, Autonexx, selama lebih 35 tahun di Mauritius, dan pelancaran EV ini adalah kejayaan terbaru. Kedua-dua syarikat berkongsi matlamat yang sama: menjadikan mobiliti elektrik sebagai masa depan di Mauritius.

Proton e.MAS 7 datang dengan dua pilihan di Mauritius, iaitu Prime dan Premium. Sama dengan model di Malaysia, Proton e.MAS 7 juga datang dengan penarafan 5-bintang ASEAN NCAP.
Dari segi kuasa, ia boleh memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 7.1 saat. Unit pacuan elektriknya berkuasa dengan 215hp dan tork 320 Nm.
Ia menggunakan sel bateri AEGIS Short Blade, dan bateri 60.22 kWhnya memberikan jarak perjalanan 410 km (mengikut WLTP).

Untuk memastikan pelanggan tak risau beralih ke EV, Proton menawarkan jaminan yang kukuh: 6 tahun atau 150,000 km untuk kereta, dan jaminan 8 tahun atau 160,000 km untuk bateri voltan tinggi dan komponen penting lain.
Sempena pelancaran ini, Proton Mauritius ada promosi istimewa early-bird untuk 30 pelanggan pertama!
• e.MAS 7 Prime berharga Rs 1,690,000 (RM157,153) (atas jalan, tak termasuk insurans) dan didatangkan dengan pengecas wallbox percuma dan kad e.motion percuma.
• Versi Premium pula berharga Rs 1,850,000 (RM172,031) (atas jalan, tak termasuk insurans) dan termasuk pengecas wallbox dan kad e.motion percuma, ditambah lima tahun servis percuma (atau sehingga 150,000 km).
Jika anda tertanya-tanya mengapa Proton e.MAS 7 jauh lebih mahal di Mauritius berbanding di Malaysia, ini adalah disebabkan oleh cukai yang tinggi dan duti eksais yang dikenakan oleh kerajaan ke atas kereta import, serupa dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia. Dalam kes tertentu, ia boleh mencecah sehingga 100%. Selain itu, terdapat juga cukai nilai tambah (VAT) sebanyak 15% lagi yang dikenakan.