Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur telah mempergiat usaha penguatkuasaan terhadap kenderaan komersial yang membawa muatan berlebihan melalui operasi besar-besaran “Perang Terhadap Kenderaan Komersial Lebih Muatan”. Sejak operasi ini bermula pada 14 Oktober lalu, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 2,398 saman terhadap 939 kenderaan, manakala 14 kenderaan telah disita atas pelbagai kesalahan serius termasuk membawa muatan melebihi had, lesen tamat tempoh dan pelanggaran syarat perkhidmatan.
Menurut kenyataan JPJ, siasatan mendapati sebahagian daripada kenderaan yang disita didapati beroperasi dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans yang sah, serta tidak mematuhi syarat-syarat perkhidmatan yang ditetapkan. Lebih membimbangkan, terdapat pemandu yang tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) atau Lesen Vokasional (PSV/GDL) yang sah. Daripada jumlah pemandu yang ditahan, enam orang merupakan warga asing dari Indonesia dan India, manakala lapan lagi adalah rakyat tempatan.
JPJ memaklumkan bahawa tindakan undang-undang telah diambil terhadap pemandu serta pemilik kenderaan yang terlibat di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987. Operasi ini akan diteruskan sehingga 31 Disember 2025 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan JPJ untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan memastikan pematuhan sepenuhnya dalam kalangan pengendali kenderaan komersial.



