GAC Honda secara rasmi telah melancarkan P7, model SUV elektrik sepenuhnya yang merupakan produk pertama syarikat itu dibangunkan berasaskan platform baharu khusus untuk kenderaan elektrik bateri, dikenali sebagai “Architecture W”.
Ditawarkan dalam tiga varian, GAC Honda P7 dijual pada harga antara 199,900 hingga 249,900 yuan (anggaran RM131,000 hingga RM164,000), meletakkannya dalam segmen pasaran pertengahan yang kompetitif. Model ini menjadi simbol komitmen Honda dalam memperkukuh kehadirannya dalam era elektrifikasi automotif.
P7 tampil dengan rekaan berani dan kontemporari, mengambil inspirasi daripada elemen mekanikal futuristik. Garisan badan yang lebar dan rendah menonjolkan identiti aerodinamik, dengan rekaan gril tertutup, bar lampu LED penuh lebar di bahagian hadapan, serta bampar berlapis-lapis gelap yang menambahkan dimensi visual dan karakter dinamik. Menariknya, P7 turut memperkenalkan logo baharu Honda, yang menandakan era dan hala tuju rekaan jenama ini untuk masa hadapan.
Dari sudut dimensi, P7 berukuran 4,750 mm panjang, 1,930 mm lebar dan 1,625 mm tinggi, dengan jarak roda sepanjang 2,930 mm. Ini menjadikannya lebih besar daripada Honda CR-V generasi keenam, terutamanya dari segi lebar dan jarak antara gandar, sekali gus menyumbang kepada nisbah penggunaan ruang yang mengagumkan sebanyak 85.8 peratus.





