Proton, pada hari ini melangkah ke era baharu dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) apabila cabang kenderaan tenaga baharunya, PRO-NET, melancarkan Proton e.MAS 7 sebagai kenderaan elektrik pertama negara. Pelancaran bersejarah ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan menandakan satu babak baharu dalam usaha Malaysia memperkukuhkan komitmen terhadap mobiliti lestari dengan mendorong penggunaan EV untuk pengurangan jejak karbon.
Memanfaatkan Kerjasama Teknikal dalam Memperkasakan Malaysia untuk Peralihan ke Mobiliti Lestari
Proton melihat pelancaran EV nasional pertama Malaysia sebagai langkah ke arah kelestarian dan inovasi dalam sektor pengangkutan negara. Usaha ini selaras dengan Plan Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara dengan pelepasan karbon sifar menjelang 2050. Pelancaran jenama e.MAS serta Proton e.MAS 7 adalah antara langkah utama yang diambil untuk mencapai matlamat ini.
EV nasional pertama adalah hasil usaha gigih Proton dalam membangunkan kenderaan elektrik sulungnya. Proton e.MAS 7 menonjolkan komitmen syarikat terhadap inovasi dan menjadi bukti kerjasama erat dengan rakan kongsi, Geely. Proton dan GEELY telah meluangkan lebih 700,000 jam kerja untuk membangunkan model ini dan kemudian menjalankan ujian sejauh 100,000 km merentasi pelbagai jenis permukaan jalan di Malaysia serta dalam pelbagai keadaan cuaca yang mencabar.