Chery Malaysia kini bersiap sedia untuk memperkenalkan model terbaharu mereka, Chery O5, dengan membuka pendaftaran minat (ROI) kepada orang ramai sebelum pelancaran rasminya hujung bulan ini. Sebagai salah satu model global paling dikenali keluaran Chery, O5 sudahpun membina pengikut setia menerusi rekaan futuristik, prestasi dinamik serta ciri keselamatan yang canggih. Versi terkini dijangka membawa pengalaman pemanduan ke tahap lebih tinggi dengan gaya rekaan lebih berani, dinamik pemanduan yang diperhalusi dan teknologi baharu yang dipertingkatkan.
Dari segi luaran, Chery O5 tampil dengan kelihatan yang lebih segar melalui rim aloi 18 inci baharu yang menyerlahkan penampilannya. Di bawahnya, sistem suspensi belakang jenis multi-link diperkenalkan bagi meningkatkan tahap keselesaan dan memastikan pemanduan lebih lancar, terutamanya di jalan raya Malaysia.
Bahagian dalamannya pula memadukan sentuhan elegan dan praktikal. Tempat duduk berbalut kulit sintetik dengan fungsi pengudaraan di bahagian hadapan menambah keselesaan, manakala tumpuan utama kabin terarah kepada paparan dwi-skrin bersepadu bersaiz 20.5 inci. Sistem ini turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, dilengkapi pengecas tanpa wayar serta kawalan penyaman udara automatik dua zon bagi memastikan pemandu dan penumpang kekal selesa serta sentiasa berhubung.






