Piston.my

Auto Bavaria Memperkenalkan Servis Eksklusif Untuk BMW Dan Mini Klasik

Auto Bavaria telah memperkenalkan inisiatif perintis sebagai pengedar pertama di Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan khas untuk kenderaan BMW dan Mini yang telah mencapai Status Klasik di pusat pengedar Ara Damansara. Beroperasi pada 26 November 2023, tawaran servis serba baharu ini bertujuan memenuhi keperluan peminat kereta klasik.

Inisiatif ini sesungguhnya membuktikan komitmen Auto Bavaria untuk meneruskan legasi kenderaan-kenderaan yang tidak lenyap ditelan zaman. Kumpulan BMW mentakrifkan kereta klasik sebagai kenderaan yang telah melebihi umur 15 tahun dari tarikh siri pengeluaran terakhir model, yang lazimnya berlaku selepas kitaran hayat tujuh tahun model tersebut.

Dengan dua ruang servis dan pasukan khas yang terdiri daripada dua juruteknik mahir, seorang penyelia dan dua penasihat servis yang diperuntukkan secara khusus untuk perkhidmatan ini di pusat pengedar Ara Damansara, Auto Bavaria menyediakan rangkaian perkhidmatan yang menyeluruh. Perkhidmatan yang ditawarkan termasuk Penyenggaraan Servis, Pembaikan Komponen, Baik Pulih dan Penggantian, memastikan kenderaan pelanggan yang amat dihargai mendapat penjagaan dan perhatian teliti yang selayaknya diterima.

Untuk menjamin ketulenan dan kualiti perkhidmatan, Auto Bavaria memberi keutamaan untuk membeli alat dan aksesori terus daripada BMW Jerman. Dalam keadaan alat khusus tersebut tidak lagi dikeluarkan, pusat pengedar ini akan mencari sumber alternatif terus daripada pembekal OEM sambil mengekalkan piawaian kualiti yang ketat.

Semua rekod servis akan dicatatkan dengan teliti di dalam Buku Servis Kereta Klasik BMW, memastikan sejarah lengkap penyenggaraan dan pembaikan semuanya disimpan di dalam sistem Auto Bavaria.

Bagi membuat temu janji untuk khidmat penyenggaraan kereta klasik BMW dan Mini, pelanggan boleh mendapatkan slot menerusi saluran servis biasa Auto Bavaria. Mereka yang berminat boleh menghubungi Perkhidmatan Pelanggan Auto Bavaria di 1300-13-3338 atau kunjungi cawangan Ara Damansara untuk pertanyaan lanjut.

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan